IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan tradisi mengedarkan bubur lambuk kepada warga Ipoh secara percuma sepertimana yang dilaksanakan pada bulan Ramadan setiap tahun.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, pada tahun ini, sebanyak 2,250 peket bubur lambuk berjaya disediakan oleh empat sektor yang diketuai Pengarah Kanan (PK) bagi sektor masing-masing dan Pejabat Datuk Bandar.

“Kesemua sektor terbabit bergotong-royong menyediakan menu bubur lambuk yang berbeza,” katanya yang turut meluangkan masa turun padang menjayakan Program Memasak Bubur Lambuk anjuran MBI hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman.

Menurutnya, menu bubur lambuk yang disediakan adalah Bubur Lambuk dengan Jagung (Pentadbiran dan Operasi), Bubur Lambuk dengan Sambal Ikan Bilis (Perkhidmatan), Bubur Lambuk Daging dengan Telur Masin dan Ikan Bilis (Kewangan) dan Bubur Lambuk dengan Ikan Masin Tenggiri (Teknikal).

“Pejabat Datuk Bandar juga tidak ketinggalan menyertai gotong royong tersebut dengan memasak menu Bubur Lambuk dengan Lobak Masin,” katanya.

Katanya, bagi penyediaan bubur lambuk itu, setiap sektor hanya dihadkan kepada 10 orang sahaja dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mereka yang terbabit dalam acara memasak bubur lambuk ini melakukan tugas secara bergilir-gilir bermula dari jam 8 pagi.

“Selepas selesai memasak, kesemua sembilan periuk bubur lambuk itu kemudiannya dipek dan diedarkan kepada kakitangan MBI dan warga Ipoh pada jam 12 tengah hari,” jelasnya.