IPOH- Selepas menjadi pusat dialisis swasta pertama di negeri Perak yang memberi vaksinasi kepada pesakit dialisis, hari ini Pusat Perubatan Ar-Ridzuan (PPAR) meneruskan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengurus Besar PPAR, Khairul Salleh Abdul Rani berkata PPAR telah dilantik oleh ProtecHealth Corporation Sdn Bhd bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai PPV di peringkat negeri Perak.

“Sebagai permulaan fasa kedua pemberian vaksin ini, PPAR dipertangugjawabkan memberi suntikan kepada 50 orang warga emas bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“PPAR menyahut saranan kerajaan bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada masyarakat. Kita akan terus membantu usaha kerajaaan untuk  mencapai vaksinasi sehingga 80 peratus populasi penduduk negara ini.

“Kesemua penerima vaksin percuma dari jenis Sinovac yang disalurkan oleh kerajaan ini adalah terdiri dari mereka yang mendaftar melalui MySejahtera,” katanya dalam sidang media di PPAR, di sini, hari ini.

PPAR antara hospital swasta kedua di bandaraya Ipoh yang dipilih menjadi pusat pemberian vaksin oleh KKM selepas Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Khairul Salleh turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa membuat semakan melalui aplikasi MySejahtera supaya tidak terlepas temujanji pemberian vaksin Covid-19.

“PPAR akan menghubungi senarai penerima berdasarkan pendaftaran temujanji melalui MySejahtera sehari sebelum atau pada tarikh pemberian vaksin bagi memastikan tiada yang terlepas temujanji yang telah ditetapkan.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan propaganda yang menyatakan vaksin ini tidak selamat. Setakat ini seramai 67 orang pesakit dialisis telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan kesemuanya selamat tanpa sebarang komplikasi.

“Selain dari jaminan keselamatan kami juga akan memastikan kesemua penerima vaksin dilayan sebagai VVIP. Kami juga mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh KKM,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima vaksin Covid-19 dari Silibin, Normah Mohd Zahid, 68, berkata pada mulanya dia berasa bimbang selepas menerima temujanji melalui My Sejahtera.

“Kebimbangan saya berakhir apabila selesai menerima suntikan pertama . Saya tidak mengalami apa-apa masalah walaupun saya diantara pengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Orang ramai tidak perlu bimbang suntikan akan vaksin ini, ianya selamat dan perkhidmatan yang diberi oleh pihak PPAR begitu mesra. Saranan kerajaan agar masyarakat mengambil suntikan vaksin haruslah disambut baik demi kesejahteran kita semua,” katanya.