IPOH- Pertandingan Ipoh Mobile Photography anjuran Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) membuka dimensi baru dalam membantu komuniti menyerlahkan bakat kreativiti seni foto menerusi telefon bimbit.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, pertandingan fotografi itu adalah penganjuran kali keempat sejak tahun 2017. Pertandingan kali ini membawa tema potret,  berlangsung pada 22 Mei hingga 04 Jun lalu.

“Program kali ini bersesuaian pada masanya kerana para peserta dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti kreatif ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung sehingga kini.

“Pertandingan ini membuka peluang warga Perak yang tidak memiliki kamera DSLR untuk berkarya secara kreatif serta mengetengahkan kepentingan seni fotografi sebagai perakam kehidupan masyarakat kini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain Nur Hanim dan Pengurus PORT, Syed Zarul Hisham Syed Khairuddin menjadi juri dalaman, dua orang juri profesional turut diundang iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Mohd Radzuan Mohd Rafee, dan Penolong Kurator, Balai Seni Negara, Mohd Khazrul Sharuddin.

Menurut Nur Hanim, sebanyak 295 unit karya daripada 150 penyertaan dibahagikan kepada empat kategori iaitu 'beauty shot', 'potret artistik', 'kanak-kanak' dan 'potret jurnalistik'. Penjurian dibuat berdasarkan elemen naratif masa kini, komposisi dan pertimbangan-pertimbangan estetika dan teknikal fotografi.

“Selain dapat melahirkan penggiat seni fotografi berbakat yang menyumbang kepada naratif-naratif sejarah dan sosio-ekonomi negeri Perak serta mampu memeriahkan lagi dunia seni kreatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tempat pertama memenangi RM700 disandang oleh Ain Qhalysha Abdul Hafiz, kedua Mazlina Nik Ahmad (RM500), ketiga Ikhwan Alif Hanep (RM400), keempat Izlan Somai (RM300.00), kelima Muhammad Amirruddin  Zulkifli (RM200) dan tempat keenam hingga sepuluh menerima saguhati sebanyak RM100.