IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mempertimbangkan untuk menyediakan penempatan kepada keluarga R Sunganthi, 53, ibu tunggal yang tular di media sosial semalam akibat kesempitan hidup serta mengalami masalah kesihatan selepas terbabit dalam kemalangan pada 2015.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, pihaknya akan mencari penempatan sesuai untuk keluarga dua beranak itu supaya dapat hidup dalam keadaan yang lebih selesa.

Difahamkan, Sunganthi dan anak perempuannya, S Lalithambigai@Kyran, 33, kini menumpang di rumah nenek saudara rakannya buat sementara waktu kerana tidak mempunyai rumah sendiri.

“Kita akan mempertimbangkan untuk menyediakan penempatan di salah sebuah rumah pangsa di bawah seliaan MBI,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan sumbangan barangan makanan bernilai RM500 daripada Econsave Jelapang dan wang tunai daripada MBI pada program MBI Prihatin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Pasaraya Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi memaklumkan, pihak pengurusan Econsave turut menawarkan pekerjaan kepada Sunganthi sebagai pegawal keselamatan di pasaraya tersebut.

“Sebelum ini kita dimaklumkan, Sunganthi pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan jadi selepas berbincang, Econsave menawarkan pekerjaan sama di pasaraya mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Suganthi ketika ditemui mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada MBI dan Econsave yang sudi memberi sumbangan.

“Saya speechless (tidak mampu berkata apa-apa) dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada keluarga kami,” katanya.

Menyentuh mengenai masalah kesihatan yang dialaminya, ibu tunggal itu memberitahu dia baru sahaja menjalani pembedahan tulang belakang pada Mac lalu.

“Masalah tulang belakang ini berlaku selepas saya terlibat dalam kemalangan langgar lari pada tahun 2015.

“Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan di kepala, hidung dan tulang belakang sehingga menyebabkan saya tidak boleh bekerja.

“Bagaimanapun, selepas sedikit pulih, saya menjual sarapan pagi namun terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu untuk meneruskannya atas faktor kesihatan.

“Anak saya juga pernah terbabit dalam kemalangan pada tahun 2011 dan atas masalah kesihatan, dia juga tidak mampu untuk bekerja,” jelasnya.

Menurutnya, dia tidak sabar untuk bekerja semula namun doktor menasihatkannya untuk berehat terlebih dahulu.

Dia yang hilang punca pendapatan sejak 2019 dan ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berharap dapat bekerja semula dalam tempoh terdekat.

 “Saya sudah biasa berdikari dan bekerja untuk menampung kehidupan kami dua beranak. Kalau semua okay, bulan enam atau akhir tahun ini saya akan mula bekerja bergantung kepada tahap kesihatan saya,” ujarnya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta.