IPOH- Lemang merupakan salah satu juadah istimewa hari perayaan yang sinonim dengan rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu.

Rasanya yang lemak dan manis, enak dimakan bersama rendang dan serunding itu sering menjadi buruan ramai penggemar masakan tradisi.

Justeru, permintaan tinggi terhadap lemang menjadi cetusan idea buat dua beradik Ikayazmin Zainurin 22, dan Nur Ariana Zainurin 24, untuk memilih lemang sebagai bisnes ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut, Ariana yang merupakan penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) idea untuk jual lemang ini bermula selepas dibenarkan pulang ketika PKP.

“Akhirnya saya dengan adik Ikayazmin buat keputusan untuk menjual lemang di dalam tong drum mengisi masa lapang yang dibuat oleh ayah Zainurin 54, sepakat menamakannya bisnes ini sebagai Lemang Turbo,” katanya.

Katanya, mereka memilih juadah itu sebagai produk perniagaan kerana ramai peniaga lemang yang biasa berniaga di tepi jalan tidak beroperasi sepanjang PKP dan Ramadan kerana akur dengan arahan kerajaan.

Oleh itu, mereka mengambil peluang tersebut dan memulakannya secara kecil-kecilan di rumah kerana memasak lemang tong drum mudah tidak mengambil masa yang lama di anggarkan 2jam

“Kami buat pemasaran di laman sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp. Alhamdulilah sambutan diterima menggalakkan.

"Kami turut menerima tempahan pelanggan sekitar Ipoh. Tempahan untuk diadakan sehari sebelum lemang dibakar serta menjalankan perkhidmatan delivery order serta Drive thru ” katanya.

Sementara itu, Ikayazmin berkata, mereka mendapatkan bekalan buluh daripada penduduk sekitar Kampung Ulu Kinta

Jelasnya, buluh perlu dipilih dengan teliti supaya tidak terlalu muda kerana menghasilkan lemang berkualiti memerlukan buluh yang matang.

“Buluh matang membolehkan pembakaran lemang dilakukan dengan sekata. Kalau pakai buluh muda, ia akan pecah dan lemang dibakar kurang kualitinya,” katanya.

Jelasnya, seawal jam 10 pagi setiap hari mereka akan membuat persiapan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Bagi merasai sendiri keenakkan lemang turbo boleh hubungi 010-8494570,
017-5286477 atau 0198177229