IPOH - Jika teringin untuk mengubah selera atau mencuba sesuatu yang baru, Restoran Laman Manjoi ada jalan penyelesaiannya! 

Pelanggan yang ingin menikmati menu masakan Cina Muslim dan makanan laut boleh mencubanya di restoran yang terletak di Gugusan Manjoi itu. 

Restoran ini menawarkan persekitaran tenang dan damai pastinya dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu berada di kampung halaman. 

Hiasan dalamannya yang menarik pasti membuatkan pelanggan berasa selesa setiap kali menikmati makanan di restoran berkenaan. 

Pemiliknya, Malizan Zakaria berkata, restoran yang baru dibuka pada Januari tahun ini mengetengahkan menu makanan laut hidup dan segar dari akuarium yang disediakan di sini. 

Menurutnya, hidangan Cina Muslim juga disediakan bagi memberi peluang pelanggan Islam yang ingin menikmati makanan tersebut. 

"Antara masakan Cina Muslim yang boleh pelanggan cuba 

adalah Daging Kam Heong, Ayam Kong Po, Sotong Harlock dan Siew Pak Choy Sos Tiram

"Bagi pelanggan yang ingin menikmati Sup Sirip Yu (Shark Fin Soup), kami juga ada menyediakannya dengan harga serendah RM12 bagi bersaiz kecil. 

"Untuk masakan Cina Muslim kami menjualnya dalam tiga saiz iaitu kecil (S), sederhana (M) dan besar (L) mengikut permintaan pelanggan. 

"Pelanggan tidak perlu bimbang dengan rasa masakan tersebut kerana tukang masak kami terdiri daripada Chef yang pernah berkhidmat dengan hotel terkemuka," jelasnya. 

Bekas Pengurus Resort itu berkata, bagi makanan laut, harga yang ditawarkan adalah mengikut harga pasaran semasa. 

"Harga makanan laut dikira mengikut berat 100 gram. Buat masa ini ikan tilapia dan patin antara yang mendapat sambutan hangat. 

"Kami akan menyediakan makanan laut tersebut mengikut menu yang dipilih oleh pelanggan. 

"Selain itu, kami juga menyediakan Shell Out dan stimbot dengan harga serendah RM15 seorang," ujarnya. 

Bagi penggemar masakan Melayu, restoran ini turut menyediakan menu tradisi Perak Ikan Tempoyak, Ikan Pais Daun Pisang, Gulai Lemak Keladi, Gulai Lemak Rebung dan sebagainya. 

Malizan berkata, jika pelanggan ingin menikmati ais kisar yang murah, terdapat lapan jenis Ice Blended dengan harga antara RM4 - RM5 sahaja.

Jadi apa tunggu lagi Yong, Yeop, moh ramai-ramai kita serbu Laman Manjoi. 

INFO

Restoran Laman Manjoi. 

Masa Operasi : Setiap hari dari jam 12 tengah hari sehingga 10 malam (turut menyediakan perkhidmatan penghantaran mengikut caj yang ditetapkan). 

Lokasi : 1170, Jalan Perwira, Kampung Manjoi, 30020 Ipoh.

Kapasiti : 250 orang pada satu-satu masa (bagaimanapun, kapasitinya dikurangkan sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan). 

Kemudahan Lain - Parkir, Surau.