IPOH – Buat warga Ipoh yang masih tercari-cari tempat untuk berbuka puasa bersama keluarga atau rakan-rakan, bolehlah singgah di Restoran Authentique yang terletak di Ipoh Garden Square di sini.

Beralamat di No. 39, Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh Garden South, 31400 Ipoh, restoran yang baharu saja dibuka itu menawarkan juadah iftar bertemakan ‘Cicip Rasa Tiga Benua’ akan bermula dari 16 April sehingga 12 Mei ini.

Pelanggan boleh memilih lebih 160 hidangan yang meliputi hidangan utama, sup, pembuka selera dan pencuci mulut.

Antara menu yang disediakan adalah Popia Basah Abang Jago, Kriok Kriok Cucur Udang, Rendang Tok, Ayam Panggang Pedas, Itik Goreng Ala Peking, Kambung Gantung Bumbu Rujak, Mee Sup Mak Lenggang, lemang, ketupat dan bubur lambuk.

Talam Puncak Jabal Rahmah pula adalah hidangan utama yang juga ‘signature dish’ pada iftar kali ini. Menu ini menggabungkan citarasa Asia, Barat dan Arab yang terdiri daripada Nasi Maqlubah Ayam, Ikan Tilapia Goreng, Salata Hara, Shatta, Sos Briyani, Cili Hijau, Fattoush, lemon dan kurma.

Jika berbuka puasa di sini, pelanggan harus menikmati Trio kawah istimewa yang meliputi Sup Tulang Ginseng, Gulai Tempoyak Ikan Patin dan Kacang Pol Tulang Kambing.

Semua hidangan tersebut disediakan dan dimasak oleh pelajar-pelajar daripada jurusan kulinari serta pastri dan bakeri di bawah bimbingan Chef Azim Amran yang juga tenaga pengajar di Shen Jai Education Group dan Chef Sariman Jamil.

Kedua-dua chef tersebut mempunyai pengalaman luas dalam bidang kulinari serta pernah berkhidmat di hotel terkemuka bertaraf lima bintang di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shen Jai, Justin Yeoh berkata, tujuan penubuhan restoran oleh pusat pendidikan ini adalah untuk mempromosikan masakan Malaysia Melayu, Cina dan India kepada pelanggan.

Menurutnya, restoran ini juga adalah sebagai platform latihan untuk pelajar Kompas International College dan Shen Jai TVET College menggilap kemahiran dalam industri makanan sekaligus berkongsi minat dengan pencinta makanan.

Harga untuk bufet Ramadan tersebut adalah RM41.90 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak dan warga emas.

Bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 10 April, mereka akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.

Untuk tempahan, sila hubungi talian 018-989 8180 (Afie) atau 011-5962 8873 (Fuad).