IPOH- Kedatangan pelancong domestik ke negeri Perak berkurangan hampir 50 peratus mengikut laporan kajian pelancongan tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata peratus kedatangan pelancong itu menurun kepada 4.9 juta orang pada tahun 2020 berbanding 10 juta pelancong pada tahun 2019.

“Namun begitu negeri Perak masih lagi berada di tempat ke dua paling ramai menerima pelancong domestik harian iaitu seramai 17 juta orang pada tahun 2020.

“Jika dilihat dari jumlah harian itu, ianya menunjukkan petanda bahawa negeri ini akan kekal menjadi destinasi pilihan utama pelancong sekiranya tempoh Perintah kawalan Pergerakan  (PKP) berakhir kelak.

“Kita semua maklum dan memahami penurunan ini adalah kesan dari PKP yang dikenakan ke seluruh negeri sehingga kini. Namun ia pastinya tidak mematahkan semangat mereka untuk melonjakkan kembali ekonomi di sektor ini,” katanya pada sidang media di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Para pemain industri pelancongan negeri ini telah menerima bantuan daripada pakej pemulihan di bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi melaksanakan acara dan aktiviti promosi sebagai persiapan sekiranya sektor ini beroperasi semula.

“Kita telah mengatur beberapa  perancangan bagi bulan Oktober sekiranya sektor pelancongan ini beroperasi semula di peringkat tempatan, pemberian insentif berupa baucar dan sebagainya akan diumumkan kelak.

“Setakat ini mereka telah menerima insentif secara ‘one off’ dari kerajaan negeri selain daripada kerajaan Persekutuan. Sememangnya bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dari segi pembiayaan penginapan, pemandu pelancong dan lain-lain lagi,” katanya.

End//