IPOH - Pandemik Covid-19 memberi impak pelancongan yang sangat besar kepada penduduk di dalam daerah Manjung khususnya di Pulau Pangkor yang juga destinasi pelancongan utama negeri Perak.

Tambahan pula, dengan situasi semasa yang masih belum menunjukkan banyak perubahan maka kemungkinan untuk pulau peranginan itu segera pulih masih samar-samar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Saleh berkata, pelancongan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi di Manjung.

Menurut beliau, bagaimanapun pandemik Covid-19 menyebabkan industri itu lumpuh manakala sebahagian besar pemainnya pula semakin kritikal.

"Sebelum Pangkor diiktiraf sebagai pulau bekas cukai, ia mencatat kedatangan pengunjung seramai 1.3 juta pada tahun 2019.

"Sebaik Pangkor menjadi pulau bebas cukai, seramai 515,000 pengunjung datang ke sana sepanjang Januari hingga Mac 2020 sebelum pandemik melanda," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi Wacana Pihak Berkuasa Tempatan - Pelancongan Pasca Covid-19 yang disiarkan menerusi saluran Facebook Stesen Radio TV Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Wacana ini adalah program bual bicara secara dalam talian yang merupakan inisiatif MBI dengan mengetengahkan isu-isu semasa.

Menjelaskan lebih lanjut kata Syamsul Hazeman, apabila kebenaran rentas negeri dan pelaksanaan gelembung pelancongan pada November hingga Disember lalu, Pangkor mencatatkan kehadiran kira-kira 1.8 juta pengunjung.

"Jadi memang tidak dinafikan pelancongan menjadi penyumbang pada ekonomi Manjung, Pangkor dan Telok Batik.

"Namun, pelancongan pasca Covid-19 kini sangat suram. Di Pangkor sahaja kita mempunyai 1,800 bilik hotel termasuk inap desa.

"Jika dicampur dengan Manjung, jumlahnya kira-kira 3,000 bilik. Manakala di Lumut pula ada 2,300 peniaga yang bergantung pada pelancongan," ujarnya.