IPOH - Perak masih lagi menjadi pilihan pelancong domestik walaupun berdepan dengan situasi sukar bersandarkan kepada kepelbagaian produk pelancongan yang boleh diterokai.

Buktikanya, Perak menerima kedatangan pelawat domestik kedua tertinggi pada tahun lalu iaitu kira-kira 13.17 juta pelawat selepas Selangor walaupun daripada segi angka bilangannya menurun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, secara amnya hitungan perbelanjaan pelawat domestik di negeri ini tahun 2020 dianggarkan RM3.8billion.

Menurut beliau, semua pihak mesti mengambil peluang melalui kekuatan Perak sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan utama negara untuk memulih dan menjana ekonomi rakyat yang terlibat dalam sektor ini.t

“Perak kini telah berada pada Fasa II Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan sektor pelancongan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya. Oleh itu, Kerajaan negeri akan mengambil beberapa insiatif strategik dalam masa terdekat.

“Pada waktu sama kita mengadakan kerjasama erat dengan pemain industri bagi menjayakan program vaksinaksi khusus untuk mengurangkan jurang bilangan perkerja industri yang belum divaksinasi bermula pada bulan September 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beberapa inisiatif juga akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi merancakkan industri ini seperti pelancaran semula baucer pelancongan #TravelPerakLah Fasa I hingga III.

Program baucer pelancongan ini telahpun dilancarkan pada 1 Julai 2020 dan dilanjutkan tempoh penggunaan serta penebusannya dilokasi produk, pengusaha hotel dan agensi pelancongan domestik Perak sehingga Jun 2022.\

Inisiatif baucer ini akan diteruskan pada Fasa IV yang bakal dilancar sempena Perak Merdeka Fest 31 Ogos ini dengan tambahan baucer untuk penginapan dan homestay pada 1 September 2021.

Dalam pada itu kata Nolee, lagu dan muzik video rasmi pelancongan Perak dijangka bakal dilancarkan pada Disember ini sebagai nilai tambah untuk merangsang kembali sektor pelancongan negeri.

“Sejajar dengan peredaran zaman masa kini, penyampaian informasi dan maklumat terbaru melalui lagu amat mendapat respon yang tinggi daripada segenap golongan masyarakat menerusi platform media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube.

“Sokongan dan kesiapsiagaan daripada semua pengusaha produk pelancongan amatlah penting dalam usaha untuk memulihkan dan menyemarakkan kembali industri pelancongan Perak,” ujarnya.