IPOH-Orang ramai kini berpeluang menikmati diskaun baucer #TravelPerakLah Fasa I-III yang dilancarkan semula oleh Tourism Perak bagi membantu industri pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi berkata pelancaran semula ini secara tidak langsung membantu pengusaha hotel dan homestay dalam menggerakkan ekonomi setempat yang mengalami kemerosotan sejak Mac 2020.  

“Baucar #TravelPerakLah Fasa I-III yang dilancarkan pada 1 Julai 2020  dilanjutkan tempoh penggunaan serta penebusannya sehingga Jun 2022. Baucer ini melibatkan pemberian diskaun meliputi pelbagai destinasi pelancongan, penginapan dan pakej pelancongan.

“Sebanyak 125 pemain industri terdiri daripada pengusaha hotel, pengusaha produk pelancongan dan agensi pelancongan yang berdaftar bakal menerima pemberian baucer ini.

“Inisiatif ini dipermudahkan lagi dengan kaedah penebusan yang ditambah baik untuk menarik minat lebih ramai pelancong dalam dari dalam luar negeri Perak,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Semula Baucar #Travelperaklah Fasa I-III dan Pelancaran Baucar #Travelperaklah Fasa IV secara maya hari ini.

Nolee turut melancarkan Baucar Pelancongan #TravelPerakLah Fasa IV sebagai persediaan sekiranya pembukaan penuh sektor pelancongan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara diumumkan.

Baucar pelancongan Fasa IV itu lebih memfokuskan kepada 78 pengusaha spa yang berdaftar di bawah Persatuan Usahawan Spa Perak dan 35 syarikat agensi pelancongan di bawah Persatuan Umrah, Haji dan Ziarah (PUHAZ).

“Inisiatif baucer ini dijangka akan bermula pada 1 Oktober 2021 hingga Jun 2022. Para pelancong boleh mendapat baucer ini menerusi pengurus Spa dan agensi pelancongan berdaftar mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

“Untuk mendapat maklumat lanjut berhubung tawaran baucer bernilai RM30.00 hingga RM150.00 ini boleh melayar laman sesawang rasmi This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.,”katanya.