IPOH - Kerajaan Negeri Perak mencadangkan supaya tiada lagi pelancong yang 'walk in' jika ingin bercuti ke Pulau Pangkor sebaliknya menempah tiket feri secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di jeti pulau peranginan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia berikutan pembukaan gelembung pelancongan bagi Pulau Pangkor sebagai destinasi Pulau Bebas Cukai (PBC) yang dijangka akan bermula pada 1 November ini.
 
Menurutnya, selepas ini segala tempahan tiket feri atau penginapan perlu dibuat  secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan sekaligus mengurangkan jumlah penumpang menunggu di ruang jeti memandangkan mereka sudah mempunyai tarikh dan masa yang sudah ditempah awal.
 
"Justeru, mereka boleh tahu bila masa menunggu feri bagi mengurangkan kesesakan di kawasan terminal yang agak kecil, " katanya pada sidang media selepas merasmikan tempat Rehat dan Rawat Rider (3R) bersebelahan bangunan MBI di sini, hari ini.
 
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Nolee Ashilin berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Sekretariat Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor di bawah telah diwujudkan dan bertanggungjawab atas pengurusan dan pentadbiran di Pulau Pangkor bagi pihak Kerajaan Negeri.
 
"Kita akan menggunakan modul Pulau Langkawi di Pulau Pangkor kalau berjaya seperti mana yang dirancangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
 
"Bagaimanapun, kita masih menunggu kelulusan daripada pihak kementerian serta mengambil pendekatan bagi memastikan bukan saja operator yang ada di Pulau Pangkor layak dari segi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi keselamatan sama ada mereka bersedia atau tidak," jelasnya.