IPOH- Persatuan Hotel Budget & Bisnes Malaysia (MyBHA) menggesa pihak kerajaan supaya menggubal satu akta undang - undang bagi mengawal selia semua jenis Agensi Pelancongan Atas Talian (OTA’s).

Timbalan Presiden Kebangsaan MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel menyifatkan tindakan OTA’s suatu bentuk penjajahan teknologi norma baharu terhadap industri perhotelan dan pelancongan yang kini dicengkam kemelut pandemik Covid-19.

“Pihak OTA’s selama ini menawarkan pinjaman kepada pengusaha hotel dan secara langsung mengikat pelbagai terma sehingga terpaksa membenarkan OTA’s menjual bilik penginapan dengan harga paling murah dan mengambil komisen yang tinggi.

“Mereka telah mengaktifkan promosi tanpa sebarang notis mahupun persetujuan daripada pengusaha hotel secara automatik melalui perkhidmatan emel. Paling menyedihkan mereka mengancam untuk tidak mempromosikan hotel jika pengusaha hotel enggan untuk bekerjasama mengikut kehendak ditetapkan malah akan menggangtung atau menamatkan akaun tanpa sebarang sebab yang munasabah.

“Bayaran cukai digital atau apa-apa caj yang sepatutnya ditanggung oleh OTA’s telah dipindahkan kepada pengusaha hotel malah memaparkan penilaian hotel dari pengguna berdasarkan pengalaman menginap tanpa sebarang usul periksa,” katanya dalam satu sidang media dalam talian baru-baru ini.

Menurutnya, pihak terbabit telah mewujudkan suatu perang harga jualan yang mengakibatkan harga jualan bilik hotel semakin hari semakin rendah malah kos operasi semakin bertambah.

Katanya, tiada kawalan terhadap pelanggan-pelanggan yang telah disenarai hitam oleh hotel. Mereka juga menjual perkhidmatan penginapan daripada penyedia perkhidmatan penginapan yang tidak berlesen.

“Tindakan mereka ini sama sekali tidak adil bagi agensi-agensi pelancongan tradisional yang berlesen dan berdaftar.

“Sekali lagi saya menegaskan pengusaha perhotelan telah sekian lama terkesan dengan ancaman industri dan juga berharap pihak kerajaan dapat melaksanakan garis panduan penginapan kediaman jangka masa pendek (Short-Term Residential Accommodation) yang telah sekian lama tertangguh.

“Penggunaan perkhidmatan secara atas talian tanpa penguatkuasaan daripada pihak kerajaan tidak dapat memulihkan industri perhotelan dan pelancongan sekiranya ia gagal disekat terutamanya di pasca pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.