Sebuah lokasi perlombongan bijih timah di Negeri Perak yang terkenal suatu ketika dahulu, kini menjadi tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. 

Tanjung Tualang yang terletak di Batu Gajah, pernah menjadi lokasi perlombongan yang menggunakan kaedah kapak korek, dikenali dengan nama Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5), dibina pada tahun 1938.

Bagaimanapun, setelah sekian lama lokasi berkenaan terbiar akibat tiada sebarang aktiviti perlombongan, inisiatif untuk menjadikan ianya sebagai sebuah tempat tarikan pelancong telah dilaksanakan oleh sebuah agensi Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.).

Ketua Pegawai Eksekutif, MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, bagi menambah nilai aset pelancongan di TT5, suatu tarikan baharu telah pun siap dibina pada tahun lalu iaitu, Maze Garden Tanjung Tualang (MGTT).

“Inspirasi untuk membina Maze Garden itu tercetus semasa mengunjungi Jeju Island, Korea Selatan pada tahun 2019.

Katanya, idea membina Maze Garden itu akhirnya terlaksana pada tahun 2020 dan sempat dibuka kepada pengunjung sebelum dilanda wabak pandemik Covid-19, tahun tersebut.

“Malangnya, ia tidak dapat dilancarkan secara langsung, maka kita mengambil pendekatan untuk membuat ‘soft launch’,” katanya kepada Perakstatic.com.

Tambahnya, ketika pembukaan MGTT tahun lalu, sambutan yang diterima sememangnya  amat menggalakkan kerana ia merupakan Maze Garden yang pertama dibina di Malaysia.

Maze Garden atau Taman Sesat seluas 2,972.89 meter persegi berbentuk hati, dibina di atas sekeping tanah berkeluasan 1 ekar (0.4047 hektar), menelan belanja kira-kira RM35 juta.

Kos itu katanya, termasuk pembinaan sebuah Restoran Makanan Laut Halal.

Katanya lagi, disebabkan tertakluk dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan, beberapa pembaharuan bakal dilaksanakan apabila ia beroperasi semula kelak.

“Ini termasuklah SOP lawatan, yang mana sebelum ini dibenarkan 20 trips sehari, namun  kini hanya 8 trips sahaja. Setiap lawatan itu juga akan ditemani pemandu pelancong.”

Selain itu, jika sebelum ini 30 orang peserta dibenarkan menyertai dalam satu-satu kumpulan, kini bilangannya dihadkan kepada 10 orang sahaja bagi setiap kumpulan.

SOP ini jelasnya, perlu dipatuhi agar semua pengunjung berada dalam keadaan selamat dan selesa.

Dalam pada itu, katanya kadar bayaran untuk masuk ke MGTT masih kekal iaitu RM5.00, seorang.