Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke bumi Taif, terasa rembesan kasih Rasullullah SAW menyelinap di sudut hati takala mengimbau pergorbanan baginda menyampaikan akidah dan ajaran Islam.

Di sinilah kesabaran Rasulullah SAW teruji dengan layanan buruk yang dberi oleh penduduk Taif terhadap usaha baginda menyebarkan dakwah.

Bukan sahaja pelawaan Baginda SAW ditolak secara hina, malah dihambur dengan kata-kata kesat. Paling menyedihkan penduduk Taif berhimpun dan membaling batu dan kayu ke arah Nabi SAW serta sahabatnya, Zaid bin Harithah sehingga darah mengalir di kedua-dua belah kaki mereka.

Menyusuri peristiwa sedih itu, Allah SWT menghantar dua malaikat menjaga bukit dan gunung untuk melenyapkan seluruh penduduk Taif, namun Baginda SAW tetap bersabar dan tidak mahu berbuat demikian.

Betapa indahnya keperibadian dan kasih baginda, baginda berdoa kepada Allah SWT supaya generasi seterusnya yang lahir di bumi itu menjadi orang beriman dan tidak mensyirikkan Allah SWT.

Berkatnya doa baginda, Kota Taif atau dikenali sebagai Kota Mawar  kerana keharuman bunga mawar yang tumbuh subur di wadi dan pergunungan, menjadikan ia sebuah daerah pertanian terpenting di Arab Saudi.

Kilang Minyak Wangi

Melawat kilang minyak wangi dari sumber bunga mawar yang hidup subur di kawasan pergunungan ini adalah satu kemestian. Kilang minyak wangi Rashid Husain al-Qorashei di antara kilang penghasilan minyak wangi yang terkenal di sini.

Pengunjung berpeluang melihat bagaimana penghasilan minyak wangi secara tradisional serta moden.

Antara produk-produk yang dihasilkan ialah haruman minyak wangi berkualiti tinggi, air bunga ros dan sabun.

Difahamkan air bunga ros yang dijual dalam botol berharga 10 Riyal bukan sahaja untuk kecantikan kulit wajah malah boleh dicampur ke dalam masakan dan minuman.

Harus diingat, bakal pengunjung seharuslah membawa nilai Riyal yang mencukupi untuk membeli wangian dengan harga kilang kerana harumannya begitu mempersonakan malah mengatasi jenama terkenal luar negara.

Pasar Buah Taif

Disebabkan kesuburan bumi Taif, tanaman buah-buahan menjadi sumber ekonomi terpenting. Saiz buahan-buahannya besar serta rasanya berbeza, lebih lazat dan bersari.

Pasar Buah Taif sememangnya persinggahan wajib untuk menikmati secara langsung dan membeli dengan harga 10 Riyal ke atas mengikut jenis buah-buahan.

Buah-buahan seperti anggur dan strawberry tidaklah sesuai dibawa pulang ke Malaysia, ianya sesuai dimakan di hotel sahaja kerana dikuatiri kualitinya akan terjejas.

Sekiranya ingin membawa pulang, dicadangkan membeli buah delima kerana kulitnya yang tebal dan tahan lasak. Harga sekotak buah delima di antara 20 ke 25 Riyal mengandungi 10 biji bersaiz besar.

Pasar Besar Pekan Lama Taif

Sekiranya singgah ke sini pasti rambang mata melihat puluhan kedai menjual pelbagai barangan seperti pakaian, makanan, barangan kemas, herba dan banyak lagi.

Kepada peminat madu asli di sinilah syurganya. Lambaian peniaga dan sapaan mesra sambil menghulurkan sesudu kecil madu segar pasti menambat hati.

Harga bukan ukuran tetapi kualiti dan khasiatnya pasti disukai terutamanya kaum adam yang mahu mengekalkan kesihatan luaran dan dalaman!

Begitulah Kota Taif, sebuah kota yang bersuhu diantara 8-23 darjah celsius pada ketinggian 1,879 meter dengan keluasan 800 kilometer persegi ini seharusnya dikunjungi.

Perjalanan menaiki bas yang mengambil masa kira-kira dua jam dari Kota Mekah pasti tidak terasa kerana keindahan serta keunikan bumi barokah ini dapat dinikmati dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. - Peraktastic. 

*Sekalung penghargaan kepada Saudi Tourism Authority (STA), penaja utama trip Taif.