TAIPING – Zoo Taiping Night Safari (ZTNS) adalah antara salah satu zoo yang terbaik di dunia kerana berjaya membendung dan membiak 14 spesis haiwan terancam kepupusannya.

Pengarah ZTNS, Dr Kevin Lazarus berkata, faktor membawa pencapaian dalam pembiakan di ZTNS adalah ZTNS sentiasa peka dan berusaha agar kebajikan haiwan di sini sentiasa dijaga dalam keadaan baik. 

“Anggaran kos makanan bagi haiwan-haiwan di sini hampir mencecah RM2.5 juta setahun kerana kami sentiasa memastikan semua haiwan mendapat makanan berkhasiat dan seimbang.

"Selain itu, setiap pameran haiwan di sini perlu mengikut spesifikasi saiz dan standard yang ditetapkan.

“Haiwan di sini setiap hari diperiksa oleh pegawai veterinar. Pegawai veterinar akan bekerjasama dengan ‘Zoo Keeper’ (penjaga haiwan) bagi memastikan tahap kesihatan haiwan sentiasa terkawal”, katanya kepada Peraktastic.

Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah II mula beroperasi pada tahun 1961 dan terletak di persekitaran kehijauan alam semulajadi, Taman Tasik Taiping. Paling menarik ia juga berhampiran kaki Bukit Larut dengan keluasan 14.5 hektar. 

Menurut Dr Kevin Lazarus, pameran haiwan yang sedia ada ini menggunakan konsep secara terbuka dengan mengutamakan habitat asal haiwan.  

“ZTNS mempunyai keunikan tersendiri kerana ia mempunyai ciri-ciri fizikal seperti aliran anak sungai, tasik dan kehijauan flora.

“Diantara konsep pameran haiwan yang ada sekarang ialah pameran hutan hujan Malaysia, hutan tanah pamah, hutan tebing sungai, savana Afrika, dan pameran gajah sungai Perak.

"Kesemua konsep itu direkabentuk menyerupai habitat asal haiwan dan menjadi pusat konservasi bagi menambah populasi haiwan terutama spesis yang terancam.

Sehingga kini, Zoo Taiping menempatkan kira-kira 1,500 haiwan dari 130 spesis terdiri daripada mamalia, burung, reptilia dan ikan. 

Misi jangka masa panjang ZTNS adalah menjadikannya sebagai pusat eko pelancongan bertaraf dunia. Bagi jangka masa pendek pula ZTNS sentiasa memastikan ia menjadi produk pelancongan utama negeri Perak dan negara seterusnya mencapai matlamat pendidikan, konservasi, penyelidikan, latihan dan rekreasi.

Paling membanggakan, program pembiakan dan konservasi hidupan liar yang telah dilaksanakan ZTNS telah berjaya membiakkan beberapa spesis seperti Harimau Malaya, Burung Botak Upeh,Orang Utan, Gajah Asia dan pelbagai lagi.