IPOH - Pengumuman membenarkan aktiviti pelancongan domestik beroperasi semula oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sambutan baik dari Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Negeri Perak (PPPBNP).

Pengerusinya, Zamari Muhyi berkata, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu seolah-olah memberi sinar dan harapan baru kepada semua pemain industri pelancongan di negeri Perak.

"PPPBNP akan bersama-sama Kerajaan Negeri menggiatkan semula aktiviti pelancongan melalui program 'Travel Perak for Perakian' agar lebih teratur dan terancang serta menepati norma baru. 

"Kita juga akan melancarkan pakej pelancongan 101 Perak. Ianya pasti merancakkan lagi sektor pelancongan yang tergendala akibat isu pendamik Covid-19.

"Selain itu, kita akan memastikan produk pelancongan Perak akan lebih dikenali dan dilawati.

"Justeru, kita akan melestarikan aktiviti pelancongan bersama program Travel Voucher yang bakal dilancarkan oleh Tourism Perak melalui kerajaan negeri", katanya ketika dihubungi oleh Peraktastic sebentar tadi.

Berikutan pengumuman oleh Muhyiddin yang disiarkan secara langsung itu, beliau menegaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) amat dititikberatkan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dihindarkan dengan berkesan.