Pulau Pangkor- Menikmati panorama indah dari udara secara jelas pada ketinggian 10,000 kaki pastinya memberi pengalaman yang menarik.

Pengarah SKS Airways, Dato' Fahrul Rahman Ahmad, berkata pengalaman indah itu hanya boleh dinikmati menerusi penerbangan dua hala Pangkor -Subang- Pangkor yang disediakan oleh SKS Airways.

"Pulau Pangkor hari ini menjadi destinasi pertama untuk syarikat penerbangan komersial terbaharu Malaysia, SKS Airways.

"Penerbangan sulung ini, cukup bermakna dan bersejarah bagi SKS Airways kerana ia menandakan permulaan sebuah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penumpang, kargo dan charter.

"Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi percutian pulau paling popular di Semenanjung Malaysia. Status bebas cukai adalah bonus tambahan untuk pelancongan domestik. Sebab itulah kami memilih Pulau Pangkor sebagai destinasi pertama kami," katanya dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan  Penerbangan  SKS Airways dari Subang ke Pangkor di Lapangan Terbang Pulau Pangkor, semalam.

Penerbangan sulung itu menggunakan pesawat SKS Airways KI 6357 yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang hanya mengambil masa selama 55 minit untuk mendarat ke Lapangan Terbang Pulau Pangkor.

Pesawat SKS Airways seberat 5670 kilogram (kg) itu,  mampu memuatkan seramai 19 orang penumpang.

Penerbangan yang bermula secara rasmi pada  26 Januari 2022 ini, membuka peluang kepada pelancong untuk menikmati harga promosi pertama sehingga akhir bulan Mac ini.

Harga tambang promosi bagi penerbangan sehala ialah bermula dari RM160.00, sementara penerbangan dua hala ialah RM319.00.

Purata muatan bagasi, pihak SKS Airways menawarkan secara percuma sejumlah tujuh kilogram sementara bagasi tangan (hand lugage) ialah tiga kilogram.
Keterangan lanjut serta tempahan tiket bolehlah melayari laman sesawang www.sksairways.com.

Fahrul Rahman Ahmad  menambah, selain menawarkan akses mudah ke lawatan pulau-pulau (Island Hopping) antara Subang ke Pulau Pangkor, syarikatnya juga mengadakan penerbangan ke destinasi lain seperti Subang ke Pulau Redang mulai 31 Januari; ke Pulau Tioman dari Subang dan Johor Bahru pada suku kedua 2022.

"Dengan pembukaan ketiga-tiga laluan ini, terdapat 12 penerbangan berjadual setiap hari dengan kapasiti harian penuh seramai 228 penumpang.

"SKS Airways menggunakan sistem tambang tiga peringkat yang boleh dipilih oleh pengembara bergantung pada destinasi dan masa tempahan. Ia adalah SKS PROMO, SKS LITE dan SKS PLUS," ujarnya.