IPOH - Lost World of Tambun (LWOT) akan dibuka kepada orang ramai pada Sabtu ini dengan harga tiket masuk istimewa ditawarkan bermula dari RM32.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, pembukaan semula LWOT setelah pihak pengurusan berpuas hati dengan semua kerja-kerja sanitasi dan penambahan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikuti panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

“Kami sangat serius dengan memperketatkan SOP yang sedia ada bagi mencegah penularan pendemik Covid-19.

"Selain itu, kami akan memastikan semua pengunjung dalam keadaan sihat, selamat dan sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di taman tema ini. 

“Bagi pembukaan semula ini, kami hanya membuka kepada pengunjung di bahagian zoo iaitu Petting Zoo, Giraffe & Friends, Tiger Valley, Hippo Kingdom, Catopia, Tarantula Alley, Wetland & Bird Paradise.  Untuk bahagian watarpark,drypark dan hotspring  tidak dbenarkan beroperasi buat masa ini.

"Aktiviti pertunjukan haiwan berjalan seperti biasa namun penjarakkan sosial paling diutamakan.

"Melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kami meminimumkan 8,000 orang pengunjung sahaja iaitu 25 peratus daripada jumlah sebenar iaitu 38 ribu orang yang meliputi 16 hektar keluasan LWOT ”, katanya dalam sidang media selepas Program Kerjasama Strategik dan Latihan SOP Pembersihan Nyahkuman Covid-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Nurul Nuzairi turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tourism Perak melalui Kerajaan Negeri dalam menjayakan program latihan taklimat dan garis panduan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.

“Program ini memberi banyak manfaat kepada kakitangan LWOT dalam memperhalusi SOP yang seharusnya kami lakukan dalam norma baru ini.

“Sekarang kita lebih mengetahui lebih terperinci bagaimana persediaan melakukan kerja-kerja sanitasi mengikut prosedur yang betul daripada bomba.

"Perkara ini secara tidak langsung akan menambah pengetahuan dan akan lebih menyakinkan pengunjung yang bercuti ke LWOT," ujarnya.

,