TAIPING - Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) akan beroperasi semula pada 15 Jun ini mengikut pembudayaan norma baharu dan tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Yang Dipertua Majlis Bandaraya Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, persediaan yang rapi serta penambahan SOP telah diperhalusi bagi memastikan pengunjung sentiasa berada didalam keadaaan yang selamat bagi mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Pihak MPT dan pengurusan ZTNS memandang serius pematuhan SOP seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain dari saringan kesihatan, jarak sosial, pemakaian topeng muka dan cecair pembasmi kuman, kita juga meletakkan ‘tikar disinfeksi’ di  pintu masuk dan keluar z

oo. Fungsi tikar ini ialah untuk membasmi kuman pada tapak kasut pengujung.

“Pihak pengurusan membenarkan seramai 1,250 orang pelawat pada satu masa bagi tempoh dua hingga tiga jam. Ini untuk mengelakkan kesesakan dan pematuhan SOP berjalan dengan lancar”, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah II mula beroperasi pada tahun 1961 dan terletak di persekitaran kehijauan alam semulajadi, Taman Tasik Taiping. Paling menarik ia juga berhampiran kaki Bukit Larut dengan keluasan 14.5 hektar. 

Sehingga kini, Zoo Taiping menempatkan kira-kira 1,500 haiwan dari 130 spesis terdiri daripada mamalia, burung, reptilia dan ikan. 

Para pengunjung boleh memilih tiga cara lawatan mengikuti SOP yang telah ditetapkan. Antaranya ialah menaiki tram, buggy dan berjalan kaki. Kesemua lawatan ini harus mematuhi jarak sosial satu meter antara satu sama lain.

Setiap buggy hanya terhad kepada empat orang sahaja bagi bukan ahli keluarga. Untuk ahli keluarga bilangan yang ditetapkan ialah lapan hingga sepuluh orang.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beliau berpuas hati dengan perlaksanaan SOP ZTNS yang menyakinkan pengunjung.

“Saya percaya ZTNS akan menerima sambutan menggalakkan kerana zoo ini adalah antara yang terbaik di dunia atas kejayaannya dalam membiak spesis terancam dari kepupusan.

"Kejayaannya termasuklah kelahiran tiga ekor Harimau Malaya dan penetasan telur Burung Botak Upeh sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu ”, katanya.