Lumut- “Marina Pangkor berpotensi besar sekiranya diiktirafkan sebagai destinasi pelancongan nautika dan mampu menarik lebih ramai pelayar-pelayar antarabangsa”, kata Patrick Southall, 61, dari United Kindom.

“Persidangan Pelancongan Marine Antarabangsa 2022 (PIMTC22), adalah satu permulaan dan berita yang baik bagi menggalakkan perkembangan pelancongan di negeri Perak. 

“Alangkah baik, sekiranya dipermudahkan terma dan syarat untuk memasuki pelabuhan Malaysia  dan ini merupakan kerjasama dua hala yang baik untuk dua pihak. Cadangan penambahbaikan prasarana disambut baik terutamanya untuk kemudahan para pelayar dan pelancong selain mampu meningkatkan aliran matawang negara dan ekonomi rakyat setempat.

“Semoga dengan pemulihan dan pembukaan sempadan negara, institusi pelancongan dapat dipertingkatkan khususnya sektor pelancongan di negeri Perak. Saya juga berharap cadangan menambah tenaga pakar berpengalaman dalam bidang pelancongan nautikal marin dapat direalisasikan selain kemesraan agensi pelancongan yang sangat  membantu”, katanya kepada Ipoh Echo sewaktu ditemubual di hari terakhir di PIMTC22 yang berlansung pada 9 hingga 12 Mei 2022 lalu.

Sementara itu isterinya,  Elizabeth Fowler, 60an, juga bersependapat bahawa Marina Pangkor setanding dengan pelabuhan Langkawi juga Tawau, namun sekiranya penambahbaikan dapat dilaksanakan, tidak mustahil ianya akan menjadi pelabuhan pilihan utama buat para pelayar.

“Kami telah belayar sejak tahun 2007, kini sudah 15 tahun belayar di perairan Asia Tenggara. Kami sangat berpuas hati dengan kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelabuhan di Malaysia.

“Kami menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelabuhan bagi kapal layar untuk melancong ke negara-negara Asia Tenggara. Kami yakin  perkhidmatan yang diberi sangat selamat dan berbaloi”, katanya yang selepas ini merancang menyambung pelayaran ke perairan Laut Merah dan ke negara India.

Beliau juga turut menyatakan kegembiraan apabila berpeluang melawat ke beberapa produk pelancongan  di negeri Perak iaitu di daerah Taiping dan Kuala Kangsar pada hari ketiga PIMTC22.

“Kami sangat hargai dan bertuah kerana diberi kesempatan melawat lokasi pelancongan di Perak. Semua produk yang dilawati sangat menarik untuk diteroka.

“Taiping dan Kuala Kangsar menawarkan produk pelancongan yang sangat menarik. Pertama kali saya menjejaki ke Zoo Taiping , ternyata ianya sangat menarik perhatian saya. Keindahan pokok-pokok hujan di Taman Tasik Taiping yang berusia ratusan tahun itu turut mencuri perhatian dan mengkagumkan saya.

“Begitu juga sewaktu melawat kilang memproses pembuatan arang dari kayu bakau memberi satu pengalaman baharu. Kami juga terharu kerana dengan sambutan meriah oleh penduduk Homestay Kampung Labu Kubong. Keindahan alam semulajadi di kampung masyarakat Melayu itu, sangat mempersonakan. Pastinya satu hari nanti kami akan kembali semula ke sini”, katanya.

ends//