Ipoh - Kerajaan Negeri Perak menerusi Tourism Perak mensasarkan 7 juta pelancongan sehingga akhir 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi berkata berpandukan kenyataan yang dikeluarkan secara rawak oleh pihak perhotelan, menunjukkan tempahan penginapan telah mencecah kepada 80%.

“Peningkatan yang menggalakkan itu, merupakan perkembangan baik berbanding sewaktu fasa pandemik lalu yang hanya mencapai 40%.

“Saya optimis untuk mensasarkan 7 juta pelancong untuk tahun ini. Kita meletakkan lebih 20% lebih tinggi dari sasaran asal supaya industri pelancongan negeri ini akan lebih produktif.

“Sekiranya target tidak mencapai pada sasaran, pastinya kita telah berjaya mencapai sekurang-kurangnya 6 juta pelancong,”katanya pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) di antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan The Treasure @ Taman Herba Gopeng di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Mohammad Odzman Abdul Kadir.

Nolee turut menambah perkembangan sektor pelancongan kini lebih cenderung kepada produk ecopelancongan.

“Eco pelancongan merupakan tarikan utama di negeri Perak kerana kita mempunyai banyak produk-produk pelancongan yang berkait rapat dengan alam semulajadi.

“Saya yakin produk-produk yang berprestij ini mampu menarik ramai pengunjung terutamanya pada musim cuti perayaan dan sekolah dan secara langsung membantu mencapaikan sasaran seperti yang diharapkan,” ujarnya.