Tidak dinafikan, Malaysia antara negara terkaya dengan kepelbagaian biologi di dunia. Sumber semula jadi ini mewujudkan produk ekopelancongan popular dan menjadi trend semasa dalam industri pelancongan.

The Habitat adalah hutan lipur di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Lokasi ini, pasti menjadi buruan pencinta alam semulajadi yang mahu melarikan diri sejenak dari hiruk-pikuk kota metropolitan.

Di sinilah syurga kedamaian yang dicari-cari walaupun terpaksa berjalan kaki sejauh 1.6 kilometer, namun ianya berbaloi dengan lambaian flora dan fauna yang hidup bebas tanpa ancaman menyambut kedatangan anda.

The Habitat, merupakan projek ekopelancongan yang membenarkan pengunjung menikmati keindahan alam semulajadi secara lebih dekat serta kaya dengan sumber pengetahuan.

Ekspedisi kami bermula setelah usai hujan. Pada awalnya pandangan mata sedikit terhad akibat kabus tebal yang menyelimuti bukit ikonik itu. Namun, setelah suria memancarkan cahaya, mata terpana apabila melihat saujana Laut Andaman serta seluruh pemandangan Pulau Pinang pada ketinggian 833 meter di atas permukaan laut dan suhu di sekitar 20 hingga 27 celsius.

Penerokaan kami ditemani oleh seorang juru pandu khas yang dikenali sebagai Hasanah, ternyata berpengetahuan luas tentang habitat flora dan fauna. Kepetahannya berbahasa Inggeris dan Melayu membuatkan kami mudah memahami apa yang dikongsikan. Beliau turut memperkenalkan buah beri biru dan beri krismas. Beri krismas yang cukup masak terasa seperti buah jambu, ini satu pengalaman baru kepada kami.

Langur Way Canopy Walk

Ekspedisi diteruskan dengan melewati Jambatan Langur (Langur Way Canopy Walk) sepanjang 230 meter yang dikatakan sebagai jambatan gantung terpanjang di dunia.

Nama Jambatan Langur diabadikan sempena nama salah satu spesis monyet yang terdapat di sini, iaitu Monyet Langur (Lotong). Monyet ini boleh dilihat secara dekat di sepanjang laluan jambatan ini. Kumpulan monyet yang asyik menikmati pucuk-pucuk muda ini, tidak akan berganjak sekiranya kita menghampirinya.

Peluang melihat anak monyet yang berwarna keemasan menjadi idaman setiap pengunjung. Ini kerana bayi monyet ini hanya berwarna keemasan dalam tempoh enam bulan sahaja dan selepas itu akan bertukar warna kehitaman.

The Top Walk Curtis Crest

Kepenatan berjalan di pertengahan perjalanan berbaloi apabila berada di Curtis Crest Treetop Walk yang berketinggian 800 meter dari paras laut merupakan titik tertinggi di Pulau Pinang.

Jika cuaca baik, anda berpeluang melihat jelas Pulau Langkawi dan juga Banglo Pemulihan (Convalescent Bunglow) pertama dibina sekitar tahun 1803.

Di atas laluan sepanjang 13 meter ini, penulis dapat menyaksikan seluruh Pulau Pinang dalam 360 darjah. Sekiranya cuaca baik, Pulau Langkawi sejauh 120 kilometer juga dapat dilihat. Di laman bawah laluan ini, terdapat juga tapak untuk perkhemahan atau pentas bagi menyaksikan keindahan panorama malam di Habitat

Flora dan fauna

Perjalanan kami terhenti seketika di Tapak Kupu-Kupu. Sekumpulan kupu-kupu pelbagai spesis menarik perhatian sepasang pelancong dari Jerman yang turut berkunjung ke sini.

Deretan pokok-pokok bunga bernektar seperti Gynura menjadi persingahan sang rama-rama. Pengalaman bermesra dengan makhluk bermetamorfosis ini, seharusnya tidak dilepaskan begitu sahaja terutamanya bermanfaat kepada kanak-kanak.

Kami juga berkesempatan meneroka Vampire Crab di celah-celah tumbuhan Bromeliad yang merupakan antara spesis endemik di hutan hujan tropika ini.

Selain itu, kami terpesona dengan bunga African Tulip berwarna oren yang menakung air sebagai sumber minuman untuk monyet-monyet di situ.

Sekiranya ingin berehat seketika, anda boleh mencuba ‘Giant Swing’ di beberapa persinggahan. Pastikan tidak terlupa merakam detik-detik indah di sini kerana pemandangan persekitarannya begitu memukau pandangan mata.

Di akhir perjalanan kami ditemukan dengan kedai cenderahati. Sebelum pulang anda boleh membeli pelbagai jenis cenderahati menarik diantaranya berasaskan sumber semula jadi.

‘Pet Plant’ salah satu cenderahati yang menarik perhatian kami. Pet Plant ialah sebuah balang kaca yang diletakkan tumbuhan hijau di dalamnya untuk dipelihara sehingga ia membesar sebelum dipindahkan ke habitat semujadinya.

Begitulah, The Habitat yang menyimpan 1001 khazanah alam semulajadi yang seharusnya dibongkar bersama. Nilai wang ringgit bukanlah ukuran pada ilmu-ilmu yang dipelajari. Semakin kita bersahabat dengan alam semakin kita menghargai anugerah tuhan yang tidak ternilai ini!

Waktu operasi bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang. Pengunjung boleh memilih pakej yang diiringi oleh pemandu pelancong. Antara pakej-pakejnya yang disediakan:

Pas Masuk Standard, dewasa RM60.00. Kanak-kanak atau warga emas RM40.00 dan kombo keluarga (2 dewasa+2 kanak-kanak atau warga emas) RM160.00.

Pas Masuk Standard + Penerokaan Realiti Virtual Ekspedisi Liar, dewasa RM80.00, kanak-kanak atau warga emas RM60.00 dan kombo keluarga (2 dewasa+2 kanak-kanak atau warga emas) RM240.00.

Pas Masuk Promosi untuk dua dewasa RM165.00. Seorang dewasa seorang kanak-kanak atau warga emas RM150.00 dan dua kanak-kanak atau dua warga emas, RM135.00. -Peraktastic-