TAIPING - Acara kayuhan Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree 2022 yang diadakan pagi tadi mendapat sambutan apabila disertai 1,000 peserta.

Acara anjuran Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dengan kerjasama Cylomotion dan Shimano, jenama unggul dalam industri berbasikal.

Jamboree berbasikal ini meliputi kayuhan sejauh 58 kilometer yang mana 40 peratus meliputi laluan jalan raya dan selebihnya melalui laluan 'off-road'.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Dato’ Faris Yahaya berkata, penganjuran jambore itu merupakan sebahagian daripada inisiatif menonjolkan BMLR sebagai lokasi aktiviti riadah.

Menurut beliau, jambore itu disertai sebahagian besar peminat aktiviti berbasikal termasuk dari Lembah Klang dan selatan tanah air.

"Acara ini juga melibatkan kru seramai 150 orang termasuk anggota polis, bomba serta marsyal bermotor dan statik.

"Jamboree ini melibatkan laluan fast train yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta," ujarnya.

Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan seperti Terbuka Lelaki dan Wanita, Lelaki Junior, Heavyweight, Gravel/ CX Open dan Fatbike Open.

Acara jamboree ini juga menggunakan catatan masa (RFID) dan diadili oleh Ketua Komisar dan hadiah yang ditawarkan termasuk wang tunai, plaque dan jersi pemenang.

“Pihak M K Land dan Bukit Merah Laketown Resort amat berbesar hati dengan sambutan yang telah diberikan oleh kesemua penaja dan peserta.

"Dengan sambutan yang begitu baik ini, pelbagai program dan acara menarik akan terus diadakan oleh MK Land di Bukit Merah bagi untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung ke sini”, tambah Faris