TAIPING - Terletak di antara laluan selatan ke utara Perak, Taman tema Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) tidak perlu diperkenalkan lagi.

Lokasinya yang mudah akses melalui susur Lebuh Raya Utara Selatan menjadikan BMLR senang untuk dikunjungi.

Atas faktor tersebut, BMLR dilihat kekal menjadi destinasi percutian utama di utara Perak dengan menawarkan pelbagai tarikan.

Ia menyediakan aktiviti rekreasi berbeza di dalam satu tempat mengikut apa yang disukai oleh pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya berkata, BMLR sentiasa menambah baik apa yang ditawarkan kepada pengunjung.

"Pengunjung boleh merasai pengalaman yang menyeronokkan sepanjang berada di taman tema ini dengan memilih aktiviti rekreasi yang diminati.

"Hanya di BMLR, kita menawarkan rekreasi seperti taman air, taman tema, aktiviti riadah hutan sambil menikmati alam semulajadi dan tidak ketinggalan Pulau Orang Utan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bagi meraikan kunjungan FAM Trip Bersama Media negeri Perak ke BMLR pada Khamis lalu.

Program dua hari tersebut adalah lawatan yang pertama melibatkan media pada tahun ini.

Mereka melibatkan 15 orang petugas media daripada pelbagai agensi.

Sesi lawatan ini bagi memberi peluang kepada petugas media merasai sendiri pengalaman berada di taman tema itu termasuklah melakukan pelbagai aktiviti.

Antara tarikan baharu ialah Morning Walk mendaki bukit tinjau bagi menyaksikan pemandangan matahari naik yang begitu mempersonakan.

Turut dirasai ialah aktiviti rentas hutan pada waktu malam sejauh dua kilometer yang pastinya memberikan pengalaman baharu kepada yang belum pernah mencuba.

Selain tarikan taman air, tidak kurang menarik ialah aktiviti seperti berkayak atau menaiki bot menyusuri Tasik Bukit Merah yang merupakan tasik buatan manusia pertama di Malaysia.

Bagi yang suka makan-makan, BMLR juga mempunyai tempat untuk menjamu selera dengan menyajikan pelbagai sajian yang enak untuk dinikmati. - PERAKTASTIC-