MENIKMATI kelazatan 'durian udang merah' di anjung rumah Andong Tijah berhadapan kehijauan permatang mengukir pengalaman yang sukar dilupakan.

Keindahan alam semulajadi perkampungan Homestay Labu Kubong terletak di daerah Kuala Kangsar ini,  dikatakan seperti di daerah Kundasang, Sabah.  Inilah antara sebab kenapa ia menjadi tumpuan para pelancong.

Rumah Andong Tijah merupakan rumah tradisional masyarakat melayu yang menjadi tarikan utama kepada sesiapa sahaja berkunjung di sini.

Pengasasnya, Meor Samsudin Abu Hassan, 62, berkata, Andong Tijah adalah sebuah rumah lama yang dipindah oleh penduduk kampung secara gotong-royong pada 2018.

"Saya membaik pulih rumah ini dengan mengekalkan konsep rekabentuk asal kerana mempunyai ciri-ciri warisan Melayu lama.

"Justeru, saya pasti akan menarik perhatian pelancong untuk merasai budaya masyarakat Melayu.

"Rumah ini diabadikan menggunakan nama moyang saya, Andong Tijah. Andong membawa maksud 'Opah' dalam bahasa minang.

"Kami mahu pelancong pulang dengan pengalaman yang indah di sini. Selain dari penginapan desa, kami menyediakan pelbagai aktiviti kekeluargaan bagi merapatkan silaturahim", katanya.

Homestay Labu Kubong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia ini, memulakan beroperasi sejak 2015.   Sepanjang tempoh itu, ribuan pelancong tempatan dan antarabangsa berkunjung ke sini. Ia dikatanya antara produk Inap Desa yang tercantik di Perak kerana keindahan alam semula di samping hasil buminya seperti buah-buahan tempatan yang boleh dinikmati sekiranya tepat pada musimnya.

Jangan lupa untuk membawa pulang kerepek pisang Mak Andak Timah, cendawan sisir, bedak sejuk, kerepek pedas dan dodol sebagai buah tangan yang di buat secara tradisional oleh penduduk tempatan.

Untuk infomasi seterusnya sila lawati:

Laman Sesawang : www.labukubong.com

Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Instagram : Homestay Labu Kubong Official

Facebook Page : Homestay Labu Kubong

Facebook : Homestaylabukubong Kuala Kangsar