IPOH - Perak Virtual Run 2020 yang akan berlangsung dari 1 hingga 31 Ogos ini adalah Sport Tourism pertama di Malaysia.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, program ini akan mengetengahkan 30 lokasi pelancongan yang menarik di Perak.
"Ini adalah inisiatif Tourism Perak melalui Kerajaan Negeri bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun.
" Virtual Run terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan larian ini boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh sebulan. 
"Peserta boleh merakamkan data larian di mana sahaja mereka berada mengikut lokasi yang ditetapkan", katanya kepada media di Majlis Pelancaran Perak Virtual Run 2020 di Tema Taman Air Lost World of Tambun, di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Zuraina Kamarul Ariff,  Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa, Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari dan  pelakon popular tanahair Zul Ariffin  sebagai duta Perak Virtual Run 2020.
Antara lokasi-lokasi ikon pelancongan utama yang terlibat adalah Tambun, Gua Tempurung, Bagan Datuk, Lumut, Parit, Taman Tasik Taiping, Kellie's Castle, Ban Pecah, Bandar Mualim dan Teluk Intan.
"Kami mengalu-alukan penyertaan dalam kalangan belia, seisi keluarga dan juga pelancong dari luar Perak.
"Setiap lokasi peserta harus menamatkan larian sejauh lima kilometer.
"Penyertaan boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.meoscmalaysia.com/perak-virtual-run-2020 atau terus ke pautan Facebook Tourism Perak. Pengunjung akan diberitahu secara terperinci melalui pautan tersebut.
"Peserta yang berjaya menamatkan larian sepanjang tempoh tersebut akan diberi kit cenderahati berupa T- Shirt dan juga medal pada 17 September 2020,"katanya.