BATU GAJAH - Sukan Kuda Lasak yang berlangsung di Kapal Korek Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) semalam, bakal diteruskan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, aktiviti sukan kuda lasak yang selalunya diadakan di bandaraya Ipoh kini diperkenalkan di TT5.

“Ini adalah acara yang julung kali diadakan anjuran bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta dan Kelab Iskandar Polo Ipoh dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

"Acara ini dijalankan secara santai bagi mengeratkan hubungan sesama ahli kelab.

“TT5 adalah salah satu produk pelancongan Perak yang popular selain lokasinya yang dikellilingi kehijauan alam semulajadi.

"Secara tidak langsung melalui aktiviti ini kita dapat mempromosikan pekan Batu Gajah dan TT5 sebagai tapak warisan pelancongan negeri yang dikunjungi," katanya ketika ditemui di acara Sukan Kuda Lasak di TT5 semalam.

Seramai 12 peserta terdiri daripada ahli Kelab Iskandar Polo menyertai aktiviti lasak ini dengan menunggang kuda sekitar laluan kawasan TT5 sejauh 26 kilometer.

Pengunjung juga berpeluang meneroka dibahagian dalam kapal korek bagi melihat bagaimana proses mencari gali bijih timah dilakukan pada masa dahalu.

Aktiviti memancing juga dibenarkan di sini sambil beriadah bersama keluarga serta mengambil peluang untuk mencuba kerja mendulang bijih timah yang dilakukan secara tradisional.

TT5 telah diserahkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada MB Inc. pada tahun 2015 untuk dijadikan Tapak Warisan Negeri. 

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menjadikan TT5 sebagai destinasi warisan dan pelancongan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung bagi mengimbau kembali nostalgia di zaman kegemilangan perlombongan bijih timah yang melonjakkan ekonomi setempat dan negeri ini. 

Menurut Halizah, acara seperti ini bukan sahaja dapat membantu dari segi promosi tetapi ianya dapat mendekatkan pelancongan dengan sejarah dan warisan setempat.

“Kami dalam perancangan untuk meneruskan aktiviti sukan kuda lasak ini pada masa depan. Kemungkinan kita akan menambah lagi jarak laluan kepada 40 kilometer.

"Ini dirasakan perlu bagi memperkenalkan TT5 yang bukan sahaja sebuah kapal korek lama yang menjadi warisan penduduk di Perak," katanya.