Ipoh- Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) kini semakin meriah dengan tarikan baharu Dragon's Lair Adventure yang dibuka mulai hari ini.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata pengunjung berpeluang merasai pengalaman baharu serta menyeronokan dengan menaiki tiub gergasi merentasi terowong laluan air sepanjang 100 meter.

“Dragon Lair merupakan tayangan sinematik 4D sambil menaiki tiub gergasi melalui laluan air yang pertama di Asia Tenggara.

“Seharusnya orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan aksi ‘Ibu Segala Naga’ yang cuba menyerang dan mengganas melalui paparan layar skrin digital besar berserta audio yang menggerunkan, ianya sudah pasti memberi pengalaman baru”, katanya selepas acara perasmian Dragon’s Lair Adventure di LWOT, disini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan-Perkhidmatan, Majlis Bandaraya Ipoh, Sr. Rohayah Abdul Kadir yang turut merasmikan pelancaran Dragon’s Lair Adventure.

Menurut Nurul Nuzairi, sungai sepanjang 660 meter itu telah dianugerahkan sebagai 'Sungai Terpanjang Buatan Manusia di Asia Tenggara’ oleh Malaysia Book of Record.

“Tarikan baru ini akan memberi satu pengalaman unik di mana ianya  mempersembahkan aksi mitos melalui teknologi terkini.

“Kita akan terus meneroka idea-idea baru dan menarik dalam memastikan LWOT antara taman tema yang terbaik di Asia”, katanya.

LWOT beroperasi isnin hingga jumaat dari jam 11.00 pagi hingga jam 11.00 malam. Sabtu dan ahad dari jam 10.00 pagi hingga jam 11.00 malam.  

Tiket masuk yang dikenakan ialah RM117 dewasa RM110 kanak-kanak. Bagi pemegang MyKad, dewasa RM85.00 dan kanak-kanak RM77.00. Sementara pembelian tiket menerusi atas talian, dewasa RM81.90 dan kanak-kanak RM77.00.

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.sunwaylostworldoftambun.com.my.