Tanjung Malim- Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammad Radzi menyeru penggiat industri pelancongan agar memperhebatkan promosi perniagaan secara strategik melalui platform digital.

Beliau mengharapkan dalam tempoh pasca Covid-19 ini, penggiat industri harus peka untuk merancang perkembangan perniagaan dalam  meningkatkan kecekapan pengurusan melalui pembudayaan platform digital dalam segenap urusan.

“Melalui program semarak pelancongan ini, saya melihat kesungguhan para peserta yang terdiri daripada perbagai agensi bagi meningkatkan strategik perniagaan melalui sektor pelancongan dalam situasi norma baharu.

Apa yang menarik para peserta  diberi perkongsian halatuju pelancongan negeri dan ruang insentif tambahan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia ( MOTAC),” katanya yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan & Pelancongan Negeri Perak.

Pada majlis itu, selain merasmikan Program Semarak Pelancongan Daerah Muallim Tahun 2020 beliau juga melancarkanFun Map Daerah Muallim di Scholar Suite UPSI Tanjung Malim.

Seramai 55 orang peserta mengikuti program yang terdiri daripada pemain industri pelancongan, perhotelan, produk persendirian, Pihak Bekuasa Tempatan, Universiti Sultan Idris dan SMK Khir Johari.