Batu Gajah- Deruman enjin 45 buah motosikal berkuasa tinggi menggegarkan bangunan Kellie's Castle pagi tadi.

Pengarah Urusan Kellies Castle, Zamari Muhyi berkata kunjungan penunggang motosikal dari negeri Che Siti Wan Kembang (Kelantan) itu bersempena program Ride Merdeka yang bermula dari Rantau Panjang, Kelantan semalam.

"Program ini membawa agenda simbolik serta membakar semangat petriotik sempena kemerdekaan tanahair ke-63.

"Kelantan Bikers memilih Kellie's Castle sebagai lokasi jejak persejarahan kemerdekaan negeri Perak sebelum meneruskan konvoi ke Pulau Pinang," katanya selepas acara pelepasan peserta bersama Pengarah Tourism Malaysia, Pantai Timur.

Konvoi yang melibatkan motosikal berjemana terkenal itu antaranya BMW, Kawasaki, Yamaha dan Honda itu diketuai oleh Penaung Kelantan Bikers iaitu Dato' Sri Nik Roslan Omar.

Jelajah kemerdekaan ini bermula 28 hingga 31 Ogos dengan kerjasama Tourism Malaysia Wilayah Timur, RTM Kelantan dan Polis Di Raja Malaysia.

Nik Roslan turut melahirkan rasa bertuah kerana berpeluang singgah ke negeri Perak yang mempunyai kepelbagaian peninggalan sejarah di zaman penjajahan British.

"Perak bukan sahaja negeri yang terkenal dengan pengeluaran bijih timah malah pengeluar getah utama dunia.

"Persinggahan kami di Kellie's Castle ini memukau pandangan kami serta mengimbau semula zaman kegemilangan penjajahan di Tanah Melayu.

Ia kini menjadi ikon pelancongan yang tersohor di negeri Perak. Pasti suatu hari nanti kami akan kembali lagi ke sini", ujarnya.

Konvoi ini melibatkan tujuh buah negeri antaranya Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Trenggganu.