Pulau Pangkor, 4 September 2020  - Hampir 200 orang tetamu sebak serta menumpahkan air mata di malam Pulara Dalam Kenangan 2020, sebuah malam penghormatan penuh simbolik untuk tokoh sasterawan Perak Malim Ghozali PK.

Ternyata pemergian Tokoh Sasterawan Perak, Allahyarham Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali juga sebagai Pak Malim pada 18 Jun lalu sebagai satu kehilangan besar kepada dunia karyawan yang tiada tolok bandingnya.

Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan,Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi berkata penganjuran acara ini adalah bagi memperingati semua jasa dan pengorbanan beliau kepada Malaysia amnya negeri Perak.

“Kehilangan Pak Malim sungguh memberi kesan mendalam kepada dunia karyawan. Pemergian Allahyarham Pak Malim membawa bersama semangat Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara) yang telah hidup di bumi Pulau Pangkor sejak 2010 hingga 2017.

“Jasa Pak Malim bukan sahaja menghidupkan dunia karyawan malah telah menyatukan penyair-penyair diserata dunia sekaligus membawa nama Pulau Pangkor terkenal di serata dunia.

Perak dan Malaysia dipromosikan melalui suatu cara yang tersendiri sehingga World Congress of Poets kali ke 33 diadakan di Pulau Pangkor dengan kehadiran lebih 200 penyair dari 32 negara pada 2013,” katanya pada media selepas merasmikan Majlis Pulara In Memory 2020, Tribute To Malim Ghozali PK di Puteri Bayu Beach Resort, Pulau Pangkor, di sisi malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Pangkor, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir. Balu isteri Pak Malim, Ratnawati Jamil.

Malim Ghozali PK adalah anak kelahiran Malim Nawar dan pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Award) pada 2013 sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada 2014.

Allahyarham sempat menyiapkan beberapa karya termasuk novel terbaharunya, Gunung Cha. Gunung Cha yang turut beliau terjemahkan ke bahasa Inggeris.­­

Menurut Nolee, pihak kerajaan negeri akan mengusulkan acara Pulara samada diteruskan sebagai acara tahunan. Namun ianya bergantung juga pada keadaan pendemik Covid-19 kerana ianya melibatkan penyertaan dari peserta antarabangsa.

“Pak Malim telah meletakkan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan yang tersohor. Kita berpendapat Pulara harus diteruskan kerana Pulara membawa dekat dengan para penyair hingga ke peringkat dunia. Namun kita akan berbincang samada ianya akan dijadikan sebagai acara tahunan,” katanya.