Pulau Pangkor, sinonim dengan produk ikan bilis mata biru, kini melonjak ke paradigma baru sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) sejak Januari lalu.

Pengiktirafan PBC ini sudah pasti menggalakkan lebih ramai pelancongan berkunjung ke pulau perangin yang bukan sahaja menyajikan senario pulau-pulau yang bersih, cantik dan damai malah ianya menyimpan khazanah sejarah silam yang harus diterokai. 

Kini beberapa buah permis perniagaan bebas cukai dijalankan antaranya yang utama ialah Laris Duty Free Pangkor, Cokelat Laris di Taman Pangkor Mutiara, CK Duty Free di bersebelahan lobby Pangkor Coral Bay Resort, Pasir Bogak dan di Teluk Nipah. 

Namun penulis tertarik apabila membeli belah di permis perniagaan CK Duty Free. Kedudukannya yang strategik ditingkat bawah Pangkor Coral Bay Resort memudahkan orang ramai untuk berkunjung. 

Di CK Duty Free seolah-oleh berada di permis perniagaan bebas cukai di Langkawi. Selain dari produk-produk kebiasaan seperti kain batik, pelbagai jenis cokelat, produk wangian berjemana seperti Carolina Herrera, Jadore, CK dan perbagai lagi, terdapat juga produk pinggan mangkuk dan peralatan dapur pada harga yang tidak disangka.

Seharian di pulau yang terkenal dengan makanan tradisinya iaitu laksa mee dan cucur ikan, tidaklah sempurna sekiranya melepaskan kunjungan ke Kota Belanda di Teluk Gedung. 

Kota Belanda adalah kubu berusia lebih 300 tahun yang dibina pada 1670 dijadikan sebagai tempat penyimpanan bijih timah dan barang dagangan lain dari Perak oleh Belanda. 

Berkunjunglah juga ke Masjid Al Badr Seribu Selawat atau Masjid Terapung yang juga terletak di Teluk Gadong. Keistimewaan masjid ini ialah mengetengahkan kaligrafi 1,000 selawat dan hiasan beridentiti negeri Perak pada dinding masjid. 

Berkunjunglah ke Pulau Pangkor yang mempunyai kepelbagaian tarikan. Tidak hairanlah kenapa ianya menjadi destinasi percutian pilihan yang utama di negeri seladang ini.