IPOH- Sejumlah RM300,000 dana membaik pulih Rumah Dato Maharajalela di Kompleks Sejarah Pasir Salak telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Dato' Nolee Ashilin Dato' Mohammed Radzi melahirkan kekesalan sewaktu lawatannya ke rumah bersejarah tersebut yang dalam keadaan terbiar dan daif.

"Kerja-kerja pemuliharaan akan dijalankan bermula pada Januari 2021. Namun kerja-kerja mengenalpasti tahap kerosakan akan dijalankan terlebih dahulu pada hujung November 2020. 

"Lembaga Muzium Negeri Perak telah mendapat kelulusan merizabkan tanah dan akan memagar seluruh kawasan rumah tersebut bagi tujuan mengawal selia keselamatan premis tersebut", katanya pada media selepas lawatan ke kompleks bersejarah baru-baru ini.

Turut serta dalam lawatan tersebut ADUN Kampung Gajah, YB Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin, merangkap EXCO Kerajaan Negeri.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan untuk projek penceriaan Litar Dato Sagor, Acara Festival Durian Pasir Salak dan Acara Tingkah Rebana Pasir Salak.

"Kita telah mengenalpasti Pulau Semarak juga berpotensi untuk dijadikan produk tarikan pelancongan dan merancang untuk melancarkan Produk “Makan Bawah Rumah," katanya.