Bagas Zakariah Orchard and Farm sebuah inap desa yang bukan sahaja menawarkan pengalaman tinggal di sebuah perkampungan melayu lama, malah menjadi lokasi tumpuan para jurufoto profesional.

Keunikan senibina tiga buah rumah kutai melayu lama itu telah menarik perhatian Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Negeri Perak (PPPBNP), Zamari Muhyi untuk mengajurkan Bagas Zakariah Photography Challenge 2020 (BZPC 2020) pada 1 Februari 2020 lalu.

“Keunikan Bagas Zakariah ini kita gabungkan bersama busana melayu Perak untuk menampakkan bertapa warisan melayu lama Perak harus diketengahkan dan diabadikan melalui pertandingan seumpana ini.

“Kita tidak mahu dizaman yang serba canggih ini, adat, budaya, warisan serta tamadun masyarakat melayu lama pupus begitu sahaja. Saya percaya melalui pertandingan ini kita dapat memberi publisiti yang meluas sehingga ke peringkat antarabangsa melalui media sosial yang ada.

“Kita juga mahu memperhebatkan lagi produk perlancongan yang terdapat di daerah Gopeng kerana di sini terlalu banyak tersimpan khazanah sejarah semenjak zaman penjajahan”, katanya.

Menurut sejarah ‘Bagas’ berasal dari bahasa Mandailing bermaksud 'sebuah rumah', manakala Zakariah adalah sempena nama datuk kepada pengusaha rumah inap itu yang merupakan seorang pendatang dari kawasan berhampiran Peyambungan, Kabupaten Mandailing-Natal, Sumatera Barat, Indonesia.

Tersergam indah di atas tanah keluasan lima ekar, Bagas Zakariah menawarkan tiga pilihan penginapan yang berbeza seperti Rumah Lenggung, Rumah Lawan Kuda atau dikenali sebagai Rumah Merah dan Rumah Kuning yang bina pada tahun 1920 yang kini genap berusia 100 tahun.

Menurut Zamari Muhyi, apa yang turut menarik perhatiannya ialah keindahan lanskap yang hampir sekeliling kawasan mempunyai sudut yang cantik untuk seni photography.

“Di sekeliling rumah kutai ini terdapat lebih 100 buah pokok durian yang telah hidup puluhan tahun. Terdapat juga sungai kecil yang airnya segar dan bersih melingkari dusun-dusun yang dihiasi dengan lanskap yang mengekalkan konsep tradisional melayu lama.

“Saya percaya Bagas Zakariah ini akan menjadi sebuah lokasi tumpuan kepada yang merindui kehidupan suasana desa yang tenang dan segar serta jauh dari kesibukan metro politan”, katanya yang lebih dikenali sebagai ‘Ikon Father Figure Photography Perak’ dikalangan penggiat seni photography kerana usahanya membantu anak watan yang berkecimpung dalam dunia photography sekian lama.

BZPC 2020 yang dianjurkan oleh PPPBNP ini telah disertai seramai 65 orang jurufoto profesional dari seluruh semenanjung. Sebanyak 130 keping foto telah diadili.

Tempat pertama dimenangi oleh Abdul Hafiz Abdul Hamid, 45, dari Sepang Selangor menerima wang tunai RM500. Tempat kedua RM300.00 dimenangi Muhammad Hanis Che Ar, 29, dari Gerik. Sementara tempat ke tiga disandang oleh Nazrul Hisan Mohamad Tarmizi, 47, dari Ipoh dengan menerima RM200.00.