IPOH, 16 DIS: Melalui Tourism Perak, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM7 juta meliputi RM1 juta anggaran terimaan cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata peruntukan yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang menyasarkan kedatangan pelancong antara tiga hingga lima juta orang bagi tahun 2021.

“Keputusan kerajaan negeri memberikan RM10,000 bantuan secara one-off kepada 12 persatuan dan NGO selain membantu memajukan sektor pelancongan di negeri Perak, ianya juga merupakan penghargaan kepada mereka sebagai pengiat pelancongan di negeri ini.

“Bantuan insentif one-off RM700 juga akan diberikan kepada 300 pemandu pelancong yang berdaftar di Negeri Perak serta RM2,000 kepada 200 syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar.

“Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf di Lata Tebing Tinggi, Selama; Zoo Taiping; Taman Alam Kinta, Kampar; dan Kellie’s Castle di Batu Gajah”, katanya dalam sidang selepas menyampaikan inisiatif khas kepada penggiat pelancongan negeri Perak, di ASOW Eatery Canteen, Taman Jubilee, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Menurut beliau, Perbadanan Taman Negeri menerima geran tahunan sebanyak RM3.5 juta, Geopark Lembah Kinta RM0.8 juta, pengurusan Bukit Larut RM1 juta, pengurusan Taman Botani Taiping RM0.3 juta dan lain-lain program pelancongan sebanyak RM1.7 juta.

“Bagi tahun 2021, kempen pelancongan domestik diteruskan dengan menyediakan 10,000 keping baucar pelancongan #TravelPerakLah bernilai RM150, RM50 dan RM30 melibatkan pengusaha penginapan dan pengusaha produk pelancongan yang terpilih.

“Pada keseluruhannya kerajaan negeri memperuntukkan RM25.9 juta bagi usaha pemulihan dan memaksimumkan potensi industri pelancongan di negeri Perak. - Perak tastic