PADANG Ipoh yang terletak bersebelahan Kelab Diraja Ipoh atau Ipoh Royal Club (IRC) dipercayai wujud seawal tahun 1895 seusia dengan pembukaan kelab tersebut.

Ia juga bukanlah sebuah padang biasa tetapi sarat menjadi saksi sebahagian daripada sejaran bandar ini sejak era kolonial.

Pada tahun 1897, dua pegawai British iaitu C.G. Ogilvie dan G.J. Perry telah melancarkan dana bagi membuka sebuah tempat rekreasi awam di bandar Ipoh bersempena hari memperingati Queen Victoria’s Diamond Jubilee.

Bagi menjayakan kutipan tersebut, komuniti Cina Ipoh turut menyokong usaha apabila menyumbang kira-kira $43,000 dolar (matawang pada masa itu) selain penyumbang-penyumbang lain.

Selain digunakan sebagai tempat permainan kriket oleh pegawai-pegawai British, Padang Ipoh juga menjadi lokasi upacara-upcara rasmi kerajaan Inggeris di Perak termasuk perbarisan ketenteraan.

Padang Ipoh juga menjadi lokasi sambutan pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 di negeri Perak.

Justeru, dalam usaha untuk memelihara kawasan bersejarah ini, Padang Ipoh yang berusia 130 tahun itu akan dinaik taraf menerusi pembangunan projek cahaya dan bunyi dengan kos RM3 juta yang dibiayai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Projek ini akan melibatkan pencahayaan menarik di kawasan Padang Ipoh termasuk pancuran air yang pastinya menarik para pengunjung serta pembinaan layar gergasi yang bakal memacu nilai tambah pada warisan sejarah di Ipoh.

Projek yang sedang berjalan ini bakal memberi manfaat untuk menjadi daya tarikan pengunjung selain menghidupkan suasana malam di bandar ini yang kerap digambarkan sebagai bandar mati.

Pada masa sama, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa memantau dan memastikan kerja-kerja yang sedang berjalan mengikut aturan manakala pihak kontraktor pula mematuhi syarat-syarat kerja yang ditetapkan di lokasi bersejarah itu.

Anggota penguat kuasa juga ditugaskan bagi memantau proses kerja agar tidak berlaku kerosakan pada kawasan padang tersebut.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dalam sesi pertemuan bersama media berkata, projek cahaya dan bunyi sedang dilaksanakan oleh pihak NCIA itu sentiasa dikawal selia agar berjalan mengikut sepertimana dirancang.

Katanya, siap kelak kawasan itu bakal memberi wajah baharu membabitkan pencahayaan menarik di kawasan Padang Ipoh yang akan menjadi tarikan pengunjung.

Katanya, pekan Ipoh Lama yang sudah mempunyai tarikan tersendiri seperti lukisan mural dan kafe hipster akan ditambah baik dengan pembangunan baharu di Padang Ipoh.

“Diharapkan pembangunan yang dirancang dapat memeriahkan suasana bandar raya Ipoh dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.