IPOH- Musim Bunga di Taman Rekreasi Gunung Lang? Inilah fenomena menakjubkan yang berlaku kesan daripada tekanan cuaca panas terik yang melanda sekarang ini.

Pengarah Lanskap Majlis Bandaraya Ipoh, Meor Abdullah Zaidi Meor Razali, 49,  berkata bunga dari spesis ‘Cat Claws’ itu merupakan pokok menjalar yang lazimnya mengeluarkan bunga sekitar March dan April.

“Pokok bunga ini telah ditanam sejak tahun 2003 sewaktu pembinaan taman rekreasi dimulakan. Seperti biasa setiap tahun ianya mengeluarkan bunga namun pada masa ini ia mengeluarkan bunga yang sangat lebat dan diluar jangkaan.

“Kalii terakhir pokok ini mengeluarkan bunga yang lebat ialah pada tahun 2014 dimana waktu itu fenomena el-nino melanda negara kita. Sejarah itu berulang kembali dimana sejak Februari lalu cuaca panas terik berterusan memberi kesan ke atas pokok cat claws ini”, katanya ketika dihubungi oleh Ipoh Echo.

Bunga Cat Claws berwarna kuning itu merimbuni pintu gerbang taman ini serta dibeberapa pondok binaan berdekatan.

Menurut Meor Abdullah, bunga ini akan bertahan lama sekiranya  cuaca berterus panas dan bunga akan mula berguguran sekiranya hujan lebat.

“Sekarang adalah waktu paling sesuai untuk orang ramai berkunjung ke taman rekreasi ini untuk bergambar kerana  fenomena ini jarang berlaku”, katanya.

“Taman rekreasi Gunung Lang  beroperasi setiap hari dari jam 8.00 hingga 7.00 petang. Tambang bot dikenakan RM3.00 dewasa dan kanak-kanak RM1.50. Waktu bot beroperasi 8.30 pagi hingga 6.00 petang.