IPOH - Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran 40 buah karya seni lukis bertemakan Perak Man Art Trail (PMAT) yang akan berlangsung selama sebulan bermula 13 April hingga 13 Mei 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Perumanan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata penganjuran PMAT memberi pendedahan kepada para peserta menerokai, menyelusuri, dan merakam khazanah berharga peninggalan Perak Man dalam perspektif seni visual.

“Pameran seni visual PMAT ini diharap dapat membuka kembali lipatan sejarah dan tamadun yang ditinggalkan oleh Perak Man kepada masyarakat, bangsa dan negeri Perak.

“Usaha gigih dan keazaman ini menjadi tatapan dan rujukan generasi. Ianya bersesuaian dengan usaha dan matlamat kerajaan negeri menjadikan kawasan Lenggong ini diiktiraf sebagai kawasan Geopark Kebangsaan kedua negeri Perak”, katanya selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Perak Man Art Trail, di Hotel Casuarina @ Meru, semalam.

PMAT dijalankan di tiga daerah iaitu Gerik, Lenggong dan Kuala Kangsar dalam bulan November 2020 lalu. Ekspedisi pertama seramai 25 orang peserta memulakan aktiviti lakar seni (pleinair) di Lenggong.

Ekspedisi kedua berlangsung di Royal Belum, Gerik. Seramai 30 orang pelukis diberi peluang menghasilkan karya di atas house boat (rumah bot) sambil diberi pencerahan berkaitan sejarah Perak Man.

Ekspedisi ketiga pula di Kuala Kangsar. Sesi ini melibatkan 'pleinair dan brainstorming' bersama 30 Persatuan Pelukis Perak, 15 pelukis jemputan Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA), Perak Art Society dan kartunis Malaysia.

Sementara itu Nolee mengumumkan Persatuan Pelukis Negeri Perak (PPPK) bakal mengadakan satu pertandingan melukis mural peringkat kebangsaan. Pertandingan itu akan mengenengahkan semua pelukis-pelukis mural tanah air.

“Pertandingan ini masih mengekalkan tema Perak Man Art Trail di tiga daerah yang sama iaitu Gerik, Lenggong dan Kuala Kangsar. 

“Saya difaham setiap daerah terdapat tujuh atau lapan lokasi di sediakan untuk para peserta menunjukkan kesenian masing-masing. Pihak persatuan akan mengumumkan pertandingan ini kepada umum setelah semua perkara dipersetujui oleh ahli jawatan kuasa”, katanya.