KUALA KANGSAR – Jambatan Victoria yang merupakan antara ikon bersejarah di daerah ini dipelbagaikan lagi tarikannya apabila menjadi lokasi pemulaan bagi trek berbasikal ‘Living River Bike Trail’ sepanjang 25 kilometer sehingga ke Kampung Raja Intan Suraya.

Kemudahan trek berbasikal ini juga bakal melonjakkan lagi nilai pelancongan ke Bandar di Raja tersebut termasuklah dalam kalangan pelancongan ‘anak Perak’ sendiri.

Usaha ini selaras dengan Pelan Pembangunan Negeri Perak 2021-2030 iaitu memberi penekanan terhadap Pembangunan Lestari dan usaha-usaja ke arah Pemuliharaan Sungai.

Projek ini memanfaatkan jalan kampung sedia ada kerana jalan tersebut telah dinaiktaraf menjadi laluan berbasikal yang akan turut digunakan oleh penduduk kampung sebagai jalan perhubungan harian.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak RM250 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 termasuk trek berbasikal itu.

Katanya, ini juga nisiatif serampang dua mata pihak kerajaan untuk mengindahkan kawasan sekitar sungai bagi menjana pertumbuhan ekonomi serta memelihara alam sekitar.

“Pembangunan yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah untuk mendorong penduduk tempatan bersama-sama memelihara Sungai Perak yang merupakan sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia secara mampan dan bersih.

“Jadi, masyarakat hendaklah memanfaatkan perkara ini apatah lagi usaha tersebut turut sama menaikkan nama Kuala Kangsar sebagai bandar pelancongan di negeri Perak yang kaya dengan sejarah warisan,” ujarnya pada majlis Penyerahan PLSB Sungai Perak Fasa 1 di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, bagi komponen tebatan banjir, projek yang terlibat ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Siput Chandan, RTB Kampung Gajah, RTB Teluk Intan Fasa Dua dan RTB Lenggong.

"Komponen living River melibatkan empat project iaitu Living River Batak Rabit, Living River Bike Trail Kuala Kangsar, Living River Sungai Bidor serta Rancangan Memulihkan Koridor Sungai Daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar." ujarnya.