Kepesatan industri perlombongan bermula dari abad ke 18,  menjadi asas kepada pembangunan bandar Kampar sehinggalah ke hari ini.

Peluang singgah sebentar di pekan tepi jalan yang menghubungkan Kampar dengan Ipoh seterusnya ke selatan, sememangnya kaya dengan  keunikan bangunan-bangunan yang melebihi 100 tahun.

Namun pandangan terhenti seketika apabila terpandang satu lorong sejauh lebih  kurang 150 meter di hiasi lukisan-lukisan mural 3D.

Sejumlah 27 buah lukisan mural telah hasilkan di dinding belakang empat blok bangunan yang secara tidak langsung menjadi ikon pekan lama ini..

Mural yang memukau pandangan di setiap sudut ini, pastinya setiap pengunjung akan berswafoto tanpa henti untuk dikongsikan ke media sosial.

Kesemua mural ini membawa tema tersendiri berkaitan sejarah, budaya, kesenian dan pelancongan yang wujud di sekitar kawasan pengoperasian Majlis Daerah Kampar (MDKpr).

Antara mural yang paling menarik ialah gajah menarik paip,waterfall abseiling Ulu Geruntum, mendulang bijih timah, orang memancing ikan, Gua Tempurung, Kapal Korek dan Bandar Agacia.

Seorang pengunjung, Nor Sahira Muhamad Zam, 27, berkata pekan lama Kampar kini semakin membangun dari segi infrastruktur terutamanya dari aspek pelancongan.

“Pertama kali saya melihat seni mural 3D berkuati tinggi yang mengenengahkan pelbagai tema. Ianya bukan sahaja memperindahkan dinding-dinding bangunan lama malah ianya mampu menjadi produk pelancongan yang disukai ramai.

“Saya menyokong usaha MDKpr ini dan ianya telah berjaya menaikkan imej pekan lama Kampar yang suatu ketika dahulu ianya suram dan tidak bermaya.

"Saya menanti akan wujud lagi mural-mural yang lebih memukau sehinggalah orang akan mengenali Kampar sebagai sebuah bandar mural yang tercantik di Perak”, katanya.