IPOH – Aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP lain melalui program gelembung pelancongan bersasar yang dibenarkan kerajaan sejak 10 Mac lalu memberi impak positif kepada sektor berkenaan.

Pemangku Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, M Yoganthiran berkata, penggiat industri pelancongan domestik ini mendapat maklum balas baik daripada masyarakat selepas kerajaan memberikan kebenaran tersebut.

“Sambutan yang diterima penggiat industri amat menggalakkan dan kita dapati rata-rata mereka amat gembira dengan banyak pertanyaan dan tempahan diterima,” katanya pada sidang media di majlis Sembang Santai Tourism Malaysia Wilayah Utara bersama pengamal media di Hotel Impiana, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ada dalam kalangan masyarakat yang dikatakan tidak mahu menggunakan khidmat agensi pelancongan seperti yang disarankan kerajaan, namun penggiat industri masih menerima banyak tempahan pakej pelancongan dan pertanyaan dari semasa ke semasa.

“Melancong melalui cara ini (menggunakan khidmat agensi pelancongan) juga secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk merancang percutian mereka di lain masa supaya lebih teratur dan selamat.

“Kita juga berharap apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan, kita dapat melihat pergerakkan pelancong untuk merentas bagi tujuan pelancongan sekaligus dapat membantu dalam merancakkan semula ekonomi bagi sektor pelancongan domestik yang suram akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu,” ujarnya.