IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif mempelbagaikan lokasi tarikan pelancongan di bandaraya ini dengan mengecat lukisan mural limau bali di Jalan Ampang-Tambun di sini. 
 
Terdapat dua lukisan mural iaitu bermotifkan limau bali dan satu lagi yang dilukis di tepi jalan sepanjang 50 meter.  Datuk Bandar Ipoh, Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, limau bali adalah salah satu produk pelancongan yang terkenal di negeri Perak khususnya di Ipoh malah penanaman buah tersebut sudah wujud sejak 80 tahun lalu. 
 
"Ladang limau bali di Tambun menghasilkan buah terbaik di negara ini dengan kepelbagaian rasa masam dan manis," katanya. 
 
Terdahulu, Rumaizi diiringi Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman merasmikan lukisan mural tersebut di sini, hari ini. 
Sementara itu, Mazlan berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan akibat pandemik Covid-19 telah menjejaskan pendapatan pengusaha limau bali di sini akibat tiada kemasukan pelancong luar ke negara ini. 
 
"Sebelum ini, pelancong dari Singapura dan Jepun sering melawat ladang limau bali sekaligus membantu pengusaha menjana pendapatan. 
 
"Justeru, bagi merancakkan semula industri limau bali, MBI menghasilkan lukisan mural supaya dapat membantu mempromosikan buah yang terkenal itu," jelasnya. 
 
Katanya, lukisan mural berkenaan dihasilkan empat orang pelukis yang diketuai Ziman Aziz serta mengambil masa antara tiga ke empat hari untuk siap sepenuhnya.