IPOH- Kehadiran pelancong antarabangsa ke negara ini pada separuh pertama tahun 2020 menunjukkan penurunan mendadak kepada 68.2 peratus berbanding tahun 2019.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, perbelanjaan pelancong bagi separuh pertama tahun 2020 mencatatkan  RM12.5 bilion menampakkan penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion pada 2019.

“Dua statistik ini sahaja sudah cukup menggambarkan betapa pandemik COVID-19  telah melumpuhkan sektor pelancongan negara kita susulan penutupan pintu-pintu sempadan.

“Kesan daripada itu telah menjejaskan banyak perniagaan dalam industri berkaitan seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman, seni dan budaya dan penganjuran acara-acara perniagaan.

“Walaupun Perak kini berada dalam fasa pemulihan, namun kerajaan negeri dan pemain industri perlu lebih kreatif dan inovatif untuk memulihkan semula sektor pelancongan," katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyampaian hadiah Pertandingan Digital Story Telling Pop Travels Cer Cerita, di Hotel Casuarina@Meru, malam tadi.

Pertandingan Digital Story Telling Pop Travels Cer Cerita, tempat pertama menerima wang tunai RM2,000 telah dimenangi oleh Suhaimi Ipat dengan tajuk video, Magical Kingdom, diikuti tempat kedua menerima wang tunai RM1,500 dimenangi oleh Muhammad Ali Yassin dengan tajuk video Temengor Geotrail dan tempat ketiga, wang tunai RM1,000 dimenangi oleh Yazid Yahya dengan tajuk video Kuala Kangsar- Bandar DiRaja.

Sementara itu kategori hadiah utama telah dimenangi oleh Pemandu Pelancong, Roselyn dengan tajuk video Ho Ho Bus Today Every Stops Tells A Story. Beliau telah membawa pulang wang tunai RM3,000.00.

Pertandingan ini dianjurkan Tourism Perak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Jawatankuasa Technical Vocational Education Training (TVET) Negeri Perak dan Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak.

Seramai 88 orang pemandu pelancong berdaftar dengan Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak telah menyertai program latihan selama dua bulan dan dibahagi kepada lapan kumpulan dengan setiap  kumpulan terdiri daripada 10 hingga 11 orang peserta. Lapan kumpulan itu telah berkerjasama menghasilkan video Story Telling POP Travers Cer Citer.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, POP Cer Citer adalah sebuah pertandingan bercerita digital pertama di negeri Perak berkonsepkan  gabungan cerita secara lisan melalui penceritaan tentang kawasan, tokoh tempatan, sejarah, warisan, seni dan budaya negeri Perak.

“Pertandingan seumpama ini dapat memaksimumkan penggunaan platform digital seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok, We Chat, Weibo dan secara tidak langsung dapat menyebar serta mempromosikan produk pelancongan secara virtual," katanya.