‘Switzerland musim bunga’ begitulah ungkapan yang digambarkan dalam kalangan pelancong-pelancong luar negara. Itulah Bukit Larut dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill yang terletak bandar warisan Taiping.  

Bukit Larut dibuka pada tahun 1884 oleh Penolong Residen British, William Edward Maxwell. Ia merupakan bukit peranginan tertua di Malaysia yang keluasan lebih kurang 7,241.46 hektar pada ketinggian 1, 380 meter dari paras laut dan kini bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Untuk sampai ke puncak anda mempunyai pilihan sama ada mendaki atau menaiki Perkhidmatan pacuan empat roda (Land Rover) yang disediakan.

Senario kehijauan alam semulajadi yang diseliputi kabus pada suhu 18 darjah celcius menjadikan bukit peranginan ini sebagai destinasi percutian yang popular.

Terdapat tiga jenis banglo disediakan untuk penginapan iaitu Banglo Angkasa berharga RM600 boleh memuatkan 16 orang, Banglo Beringin berharga RM400 memuatkan 10 orang dan Banglo Tempenis RM600 memuatkan 16 orang.

Di puncak bukit ini anda berpeluang menikmati  keindahan seluruh bandaraya Taiping. Namun pemandangan di sebelah malam sangat menakjubkan kerana ribuan cahaya lampu seluruh bandaraya Taiping berkerlipan seperti bintang-bintang yang bertaburan di bumi.

Terdapat lebih 250 spesis burung tempatan hidup bebas di sini. Apa yang lebih menarik sepanjang bulan September dan April, lokasi ini menjadi tepat perkampungan  ribuan burung-burung  hijrah antara yang popular ialah Barred Eagle – Owl dan Great Hornbill.

Rose Garden Café yang beroperasi dari 9.00 pagi sehingga 4.00 petang sudah pastinya menjadi pilihan anda. Bersantailah di sini bersama menikmati ketenangan suasana yang dikelilingi  bunga-bungaan segar dan kehijauan pokok-pokok palma sambil menikmati pelbagai pilihan menu tempatan dan barat.

Di sinilah syurga ketenangan bagi pencinta alam semulajadi. Tiada perkataan boleh diluahkan kecuali anda sendiri merasai pengalaman dan keindahannya percutian di sini! 

 

Laman Web : www.mptaiping.gov.my

FB :  Majlis Pembandaran Taiping

IG : mptaipingperak

Twitter : MPTaiping

Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Tel : 05-807 7241

GPS : N 451’56.74032” E 1000 46’58.04436”