Tutur kata yang lembut dan halus, sehalus bakat seni yang dianugerahkan Tuhan kepadanya membuka bicara, berkisarkan pengalaman lalu serta harapan beliau bukan sekadar omong kosong.

Begitulah persona, wanita yang sarat dengan ilmu kesenian selama lebih 25 tahun, melalui pengalaman kerjayanya dalam bidang yang sudah sebati dengan jiwanya ini.

Pemilik nama, Nur Hanim Datuk Mohamed Khairuddin, yang dilantik menerajui pengurusan di PORT@IPOH ini, bukan calang-calang orangnya.

Beliau mempunyai latar belakang pengajian seni dari  Universiti Teknologi MARA (UITM) (dulu dikenali sebagai ITM) Shah Alam, Selangor.

Menyambung pendidikan secara khusus dalam bidang Seni Halus (Fine Art), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di institusi pengajian tinggi tersebut, memberikan kelebihan pada bakat seni yang sedia dalam dirinya.

13 TAHUN BERSAMA  YAYASAN KESENIAN PERAK

“Pada awalnya saya menjadi artis kesenian sepenuh masa beberapa tahun sebelum ditawarkan bertugas di Yayasan Kesenian Perak (YKP), oleh pengasasnya, Yang Mulia (YM) Raja Ahmad Aminullah pada tahun 1996.

“Beliau yang juga seorang penyair, penulis dan budayawan terkemuka Negara telah memberikan satu tugasan khas kepada saya, iaitu mengendalikan satu program di Bandaraya ini yang diberi nama ‘Ipoh International Art Festival’ atau dikenali sebagai Festival Pekan Seni Ipoh,” katanya dalam satu temubual bersama PERAKTASTIC di Port@Ipoh,baru-baru ini.

Nur Hanim berkata, bertitik tolak dari situlah, selama 13 tahun, beliau mencurahkan bakti di YKP secara sepenuh masa selama 13 tahun.

KURATOR SEPENUH MASA

Bagaimanapun, selepas itu katanya dia kembali melakukan tugasan secara ‘Freelance’ dan menjadi Kurator untuk pameran, bidang seni visual dan pelbagai lagi yang melibatkan kerjaya seni termasuk kerja-kerja penterjemahan bahasa.

“Sebenarnya, focus utama saya adalah projek pameran, ini kerana saya banyak terlibat dengan projek-projek sedemikian sama ada di dalam mahupun luar Negara,” jelasnya.

MENYERTAI PORT@IPOH

Mengimbas detik awal bagaimana beliau boleh bersama Port@Ipoh ini, katanya beliau pernah beberapa kali menolak tawaran ke sini.

“Mungkin sudah tertulis rezeki saya di sini, meskipun beberapa kali menolak, namun pada tahun 2019 saya menerima tawaran tersebut dengan hasrat untuk bantu memulihkan Port@Ipoh.

“Oleh itu, saya gunakan segala pengalaman yang ada untuk menguruskan tempat ini dan kerjasama yang padu sesama pasukan kerja selain keyakinan terhadap prestasi kakitangan juga menyebabkan saya terus bertahan sehingga hari ini. Alhamdullilah...Semuanya berjalan lancar,” tambahnya.

IPOH INTERNATIONAL ART GALLERY

Katanya lagi, ketika itu beliau cuba mengetengahkan konsep seni kontemporari dengan cubaan melaksanakan program ‘Ipoh International Art Festival (IIAF)’.

Sungguh mengujakan kerana program IIAF itu telah mendapat sambutan yang memberansangkan dengan penglibatan 12 buah Negara iaitu, Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Switzerland, Finland,Turki, Austria, Lubnan, Sweden dan Syria.

Justeru katanya, cabang kesenian ini katanya bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi lebih kepada suatu bentuk perbincangan ilmiah dengan skop yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat.

HASIL SENTUHAN PERTAMA DI PORT@IPOH - BLACKHOUSE

Dalam pada itu, tugasan pertama yang diberikan sebaik menjejakkan kaki ke PORT@IPOH adalah memulihkan bangunan yang pernah dijadikan gudang simpanan peralatan seni.

Kini bangunan yang indah tersergam itu diberi nama ‘Blackhouse’ dan bertukar wajah menjadi ruang yang menempatkan beberapa sudut khas bagi penganjuran program dan aktiviti seni visual, seni muzik dan seni persembahan.

Terdapat lima sudut khas iaitu Portdistro (jualan kraf dan merchandise), Common Room (seni persembahan,pameran, bengkel dll.), Dark Room (fotografi/cetakan), Studio Muzik dan Residensi Seni.

Selain menjadi hab bagi seniman-seniman dari pelbagai latarbelakang untuk bertukar-tukar idea berkaitan seni, budaya dan warisan, ianya juga diasaskan untuk membantu dan menyokong perkembangan seni dan kreatif di negeri Perak agar dapat dikongsi bersama-sama para seniman di dalam mahupun di luar Negara.