PUTRAJAYA - Sebanyak 41 kes kematian Covid-19 membabitkan mangsa kanak-kanak dan remaja sehingga 17 tahun direkodkan sepanjang tahun ini sehingga Ogos lalu.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding kematian yang direkodkan kumpulan sama sepanjang tahun lalu dengan hanya enam kes.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memberitahu, pesakit pada usia 13 hingga 17 tahun merekodkan kematian tertinggi dengan 16 kes.

Seterusnya kumpulan umur 0 hingga 4 tahun (15 kes) manakala pada tahun lalu masing-masing merekodkan hanya dua dan tiga kes.

"Jumlah kematian dalam kategori umur 7 hingga 12 tahun merekodkan sembilan kematian berbanding hanya satu tahun lalu.

"Pada masa sama, hanya satu kematian membabitkan kumpulan umur 5 hingga 6 tahun berbanding sifar kematian tahun lalu," kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini pada Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun di negara ini agak membimbangkan.

Katanya, sebanyak tiga kes kematian Covid-19 yang membabitkan kanak-kanak bawah usia lima tahun dilaporkan sepanjang 2020.

Namun, beliau berkata, bilangan yang sama sudah direkodkan dalam tempoh lebih singkat iaitu tiga kematian dalam lima bulan pertama tahun ini.

"Selain itu, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara," ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) amat berharap supaya semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak supaya terhindar dari virus Covid-19.