PULAU PINANG - Ada dalam kalangan kanak-kanak pada usia seawal lapan tahun dikesan mula menghisap rokok di negara ini di mana ia sesuatu yang mengejutkan.

Budaya tidak sihat ini didedahkan pihak  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerusi pendapat orang awam daripada tinjauan yang dilakukan.

Antara sebab kanak-kanak ini mula terdedah dengan rokok adalah apabila mereka disuruh untuk membeli rokok oleh bapa mereka di kedai runcit.

Pegawai Pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, fakta tersebut amat dibimbangi lantas menyeru semua pihak memainkan peranan khususnya ibu bapa untuk ambil berat berkenaan isu tersebut. 

"Rokok mudah dibeli di kedai runcit walaupun sebatang tanpa perlu membeli sekotak penuh.

"Ini menyebabkan kanak-kanak yang mula terdedah terikut-ikut membeli dan cuba menghisapnya," ujarnya yang dipetik pada satu laman berita.

Justeru, pihak CAP katanya mahu pihak berkuasa agar lebih tegas dalam melindungi golongan belia termasuk kanak-kanak daripada terus dimanipulasi.

Sementara itu, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, terdapat kira-kira lima juta perokok di Malaysia dan 10 peratus daripada jumlah itu berusia di bawah 19 tahun. 

"Ketika CAP membuat tinjauan pada 2019, kita terkejut mendapati kanak-kanak sekolah menghisap vape (rokok elektronik) malah terlibat dalam menjualnya.

"Sehubungan itu kita mendesak kerajaan supaya memperkenalkan Akta Kawalan Tembakau bagi menggantikan Peraturan Kawalan Produk Tembakau (CTPR) 1993 yang tertakluk di bawah Akta Makanan 1983," tegasnya.