KUALA LUMPUR - Sebanyak 74.7 peratus atau 17,480,766 individu dewasa negara ini telah lengkap menerima dua dos vaksin sehingga semalam.

Berdasarkan data yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 91.6 peratus atau lebih 21,573,348 juta individu pula sudah menerima suntikan pertama.

Setakat semalam juga, sejumlah 227,147 dos suntikan harian telah diberikan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, Johor telah mencatatkan pemberian dos kedua tertinggi dengan 27,890, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (18,519), Selangor (17,040), Sabah (16,745), Kedah (15,403) dan Terengganu (12,468).

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin seluruh negara adalah lebih 39,054,114 juta.

Sementara itu di Perak, proses vaksinasi di negeri ini lancar apabila seramai 1,494,993 orang atau 59.55 peratus telah menerima dos pertama manakala 1,037,414 (41.33 peratus) lengkap kedua-dua dos.

Sumber Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF negeri Perak) memberitahu, jumlah yang mendaftar sebagai penerima vaksin adalah 1,604,869 orang daripada kira-kira 2.5 juta penduduk.

“Kadar vaksinasi harian yang direkodkan pada 13 September iaitu terkini adalah 27,778di mana 75 peratus bagi penerima dos pertama dan 51 peratus dos kedua.

“Sepanjang minggu pertama bulan ini iaitu 1 hingga 7 September pula sebanyak 226,761 dos telah diberikan kepada penerima bagi kedua-dua kategori suntikan,” menurut CITF menerusi laman Facebook beliau.

Kata sumber itu, jangkaan mencapai imuniti kelompok iaitu pada angka 80 peratus tersebut selewat lewatnya pada Oktober ini dan selesai keseluruhan vaksinasi pada November tertakluk kepada bekalan vaksin.

“Antara langkah yang diambil untuk mempercepatkan kadar vaksinisasi ialah dengan membuka lebih banyak PPV datang terus (walk-in) dan setakat ini sebanyak 19 PPV telah dibuka dengan kaedah itu,” ujarnya.

Sementara itu, daerah Kampar merekodkan kadar vaksinasi tertinggi di Perak apabila 77.6 peratus menerima dos pertama atau seramai 80,793 orang manakala dos kedua 52 peratus (57,989) dengan jumlah yang mendaftar kira-kira 85,463 penduduk.

Daerah Manjung pula dengan seramai 168,800 penduduk yang telah mendaftar iaitu ketiga teramai di Perak mencatatkan kedua tertinggi dengan 154,578 menerima dos pertama iaitu 62 peratus manakalala dos kedua 47.91 peratus (118,713).

Bagaimana pun, peratusan vaksinasi di Kinta yang mempunyai penduduk paling ramai mendaftar iaitu 542,765 berada pada kedudukan kelapan daripada 12 daerah dengan 482,942 telah menerima dos pertama iaitu 60.25 peratus dan 326,658 (40.76) lengkap dos kedua.