KUALA LUMPUR - Negara hampir mencapai imuniti kelompok apabila kira-kira 80 peratus golongan dewasa telah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menerusi ciapah ringkas di laman Twitter beliau.

“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi.

“Teruskan usaha kita perangi Covid-19,” katanya ringkas menerusi ciapan tersebut

Walaupun jumlah kes penularan wabak Covid-19 yang direkodkan masih lima angka, kebanyakan pesakit Covid-19 kini hanya berada dalam kategori satu dan dua.

Hari ini kes positif Covid-19 merekodkan 15,759 manakala semalam 14,345 kes.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi dengan menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Beliau berkata, pelaksanaan PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah.

Antaranya secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.